X
Sabtu, 9 April 2022 | 11:37pm
Ahli Parlimen Pengerang, Azalina bercakap pada sesi perbahasan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14. - Foto BERNAMA
Ahli Parlimen Pengerang, Azalina bercakap pada sesi perbahasan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14. - Foto BERNAMA

Perkara 48(6) Perlembagaan wajar dipinda - Azalina

KUALA LUMPUR: Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan juga wajar dipinda bagi mengelak krisis perundangan, sebelum pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pindaan Perkara 10 Perlembagaan tanpa ditakrifkan maksud lompat parti dengan tegas akan menjadikan undang-undang Antilompat Parti tidak berfokus.

"Undang-undang terbabit kemudiannya boleh dicabar atas alasan Perlembagaan.

"Mengapa tidak pinda Perkara 48(6) pada Isnin ini bagi mengelak krisis Perlembagaan pada masa depan?" ciapnya di Twitter hari ini.

Perkara 48(6) memperuntuk seseorang yang melepaskan keahliannya di dalam Dewan Rakyat hendaklah, bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh pelepasan keahliannya berkuat kuasa, hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat.

Perkara 10 Perlembagaan membabitkan kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Pembentangan RUU Antilompat Parti ditangguhkan sekali lagi selepas mesyuarat Kabinet memutuskan kajian terperinci dijalankan terhadap definisi lompat parti.

Mesyuarat Khas Parlimen Isnin ini akan diteruskan bagi membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022, manakala RUU Antilompat Parti akan dibentang pada sidang khas lain.

Ini kerana pembentangan dan perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 pada 11 dan 12 April ini membabitkan penggubalan punca kuasa di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, bagi membolehkan RUU berhubung larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti, digubal di Parlimen.

Berita Harian X