Sabtu, 9 April 2022 | 6:57pm
Tangkap layar dua hantaran oleh pengguna akaun Facebook ‘Hasrul Izwan’.
Tangkap layar dua hantaran oleh pengguna akaun Facebook ‘Hasrul Izwan’.

'Damailah engkau di sana wahai sayangku'

Seremban: Seorang pengguna akaun Facebook 'Hasrul Izwan' membayangkan seolah-olah diri mengaku bapa kepada kanak-kanak perempuan yang dipercayai rangkanya ditemukan di kawasan belukar dekat Jalan Bukit Zamrud, Khamis lalu.

Berdasarkan dua hantaran dalam laman sosial berkenaan, lelaki itu meluahkan perasaan sedih dan menyedekahkan bacaan surah al-Fatihah, selain turut kongsikan gambar seorang kanak-kanak perempuan, yang diakhiri dengan tanda pagar #hanan.

"Maaf karane xad (kerana tiada) di sisimu ketika kau menempuh hari2 yg (hari-hari yang) amat menyakitkan hingga akhir sayang #hanan.

"Al-Fatihah... Damailah engkau di sana wahai sygku (sayangku)... #hanan," katanya dalam hantaran melalui Facebook.

Kedua-dua hantaran berkenaan membayangkan seolah-olah lelaki itu mengaku bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia lima tahun terbabit, malah beberapa komen netizen dipercayai rakannya dalam hantaran itu didapati berkait kes penemuan rangka berkenaan.

Bagaimanapun, lelaki itu dilihat mengambil sikap berdiam diri tanpa menjawab soalan netizen berhubung kejadian itu dalam ruangan komen, selain ada yang turut mengucapkan takziah dan menyedekahkan bacaan surah al-Fatihah.

Usaha menghubungi lelaki itu bagaimanapun tidak berjaya apabila beliau tidak menjawab mesej yang dihantar kepadanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.

Sebaliknya, beliau berkata, pihaknya sedang menunggu laporan keputusan patologi dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

"Kita tunggu saja laporan keputusan patologi dan DNA untuk mengenal pasti identiti rangka yang ditemui itu," katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan polis menemui rangka dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di lokasi pencarian di Jalan Bukit Zamrud, di sini, kira-kira jam 11 pagi Khamis lalu, dalam operasi pencarian yang dilakukan sejak 28 Mac lalu.

Pada 28 Mac lalu, polis membawa seorang wanita yang dipercayai ada kaitan dengan penemuan mayat wanita di kawasan gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus, ke sebuah kawasan belukar di Jalan Bukit Zamrud.

Polis enggan mendedahkan tujuan pencarian itu, namun mengesahkan kedua-duanya mempunyai kaitan.

Berita Harian X