X
Sabtu, 9 April 2022 | 2:47pm
Pengguna membeli minyak masak botol disebabkan minyak masak paket satu kg kehabisan stok di pasaran sejak dua minggu lalu. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Pengguna membeli minyak masak botol disebabkan minyak masak paket satu kg kehabisan stok di pasaran sejak dua minggu lalu. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Minyak masak paket 'licin' di Johor

JOHOR BAHRU: Minyak masak paket bersubsidi yang dijual pada harga RM2.50 sekilogram (kg) habis di beberapa lokasi bandar raya ini sejak dua minggu lalu.

Tinjauan di Tampoi dan Pandan di sini, mendapati beberapa kedai dan pasar raya mendakwa kehabisan stok minyak masak paket berikutan permintaan yang tinggi dan bekalan yang tidak banyak.

Pekerja sebuah kedai di Tampoi yang mahu dikenali sebagai Nizam, 27, berkata bekalan minyak masak paket satu kg yang tidak konsisten menyebabkan bekalan bahan itu terputus sejak dua minggu lalu.

"Minyak masak paket satu kg memang jadi rebutan sejak dulu, namun bekalannya sudah terputus sejak dua minggu lalu menyebabkan pelanggan marah.

"Kebiasaannya, majikan membuat pesanan dua kotak besar minyak masak paket setiap dua hari, namun sejak dua minggu lalu ia belum lagi dihantar, bila majikan saya minta untuk beli lebih pun pembekal kata tiada.

"Pembekal mendakwa stok tiada selain menyatakan mereka terima permintaan lebih tinggi daripada biasa sejak beberapa bulan lalu dan tidak dapat memenuhi permintaan yang tinggi," katanya.

Pengguna, Alias Mohamed, 44, berkata kehabisan minyak masak paket menyebabkan beliau terpaksa membeli minyak masak botol yang lebih mahal.

"Saya terbeban kerana minyak botol terlalu mahal, apatah lagi saya belum mendapat pekerjaan baharu selepas diberhentikan kerja.

"Kini terpaksa beli minyak masak botol apabila tidak dapat beli minyak masak paket yang sudah dua minggu tiada di pasaran. Banyak kedai saya sudah pergi, namun semuanya tiada bekalan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro, berkata pemeriksaan yang dibuat pihaknya mendapati stok minyak masak paket bersubsidi sepatutnya mencukupi.

"Menerusi pemantauan anggota di sesetengah lokasi mendapati minyak masak paket ini menerima permintaan cukup tinggi sehingga ada lokasi sudah kehabisan stok tidak sampai sehari selepas ia diletakkan di atas rak kedai.

"Bagaimanapun, kita akan terus pantau keadaan semasa. Bekalan mungkin mengalami sedikit kelewatan selepas stok habis dalam kadar waktu yang singkat," katanya.

Berita Harian X