Sabtu, 9 April 2022 | 1:25pm
Bangunan Parlimen
Bangunan Parlimen

'Pindaan Perlembagaan, bentang RUU Anti Lompat Parti ambil kira semua pandangan'

KUALA LUMPUR: Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 Isnin ini bertujuan membolehkan sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan dikenakan terhadap Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, berkata sekatan menerusi undang-undang persekutuan itu ditetapkan berkait keahlian mereka dalam parti politik.

"(Pindaan Isnin ini menyaksikan) Perlembagaan Persekutuan akan dipinda dengan memasukkan fasal baharu (3 (a)) ke dalam Perkara 10 (Perlembagaan Persekutuan) yang berkait dengan kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

"Kemasukan fasal baharu (3 (a)) ini bertujuan membolehkan sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang berhubungan dengan keahlian dalam parti politik ahli Dewan Rakyat dan ADUN boleh juga dikenakan oleh undang-undang persekutuan," katanya dalam satu kenyataan.

Ketika ini, fasal 3 Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memperincikan sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) fasal (1), boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perburuhan atau pendidikan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan terlebih dulu, diikuti pembentangan RUU Akta Anti Lompat Parti kelak, membuktikan kerajaan, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terbuka kepada pandangan yang berbeza dari kalangan anggota Kabinet sendiri.

"Jika RUU ini (anti lompat parti) dalam bentuknya yang asal tetap dibentangkan dalam sidang khas Parlimen pada 11 dan 12 April ini, ia seperti telahan pengamat politik tertentu, mungkin masih boleh memperoleh sokongan majoriti dua pertiga biarpun dibangkang oleh sesetengah Ahli Parlimen dari blok kerajaan.

"Begitupun, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang mengandungi prinsip-prinsip keterangkuman dan kebersamaan serta selaras dengan pendekatan akomodatif Ismail Sabri sendiri, maka pilihan untuk mencapai konsensus adalah terpuji demi pengekalan kestabilan politik," katanya.

Kamarul yang turut terbabit dalam sesi libat urus bagi RUU Akta Anti-Lompat Parti berkata, banyak sesi diadakan sejak akhir tahun lalu, termasuk yang paling mutakhir membabitkan Barisan Nasional (BN) pada 30 Mac lalu dan Perikatan Nasional (PN) pada 5 April lalu.

"RUU ini dalam bentuknya yang asal dikatakan akan memberi kuasa penuh kepada sesebuah parti politik, termasuk untuk memecat seorang Perdana Menteri dengan cara memecat beliau dari parti politik yang sekali gus menyebabkan beliau akan terlucut jawatan sebagai Ahli Parlimen.

"Ada juga maklum balas mahukan supaya undang-undang anti lompat parti dibuat dalam bentuk akta dan bukannya dalam bentuk pindaan Perlembagaan yang sifatnya terlalu umum dan akan menjadi sukar untuk dipinda di kemudian hari disebabkan ia memerlukan majoriti dua pertiga.

"Dihujahkan juga jika undang-undang anti lompat parti ini dibuat dalam bentuk akta, maka lebih banyak perincian boleh dibuat dari segi takrifan, pengecualian dan ilustrasi kes-kes tertentu yang boleh dimasukkan dan yang tidak boleh dimasukkan ke dalam kategori lompat parti," katanya.

Disebabkan pelbagai hujah itu kata beliau, mesyuarat Kabinet pada 6 April lalu bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan dahulu untuk membenarkan hak untuk membentuk persatuan dihadkan oleh undang-undang persekutuan.

Sementara itu, pakar undang-undang yang juga pengasas Jurisprudens Watan, Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussein berkata, pindaan Perlembagaan untuk melucutkan secara automatik ahli yang melompat parti tidak seharusnya dijadikan mutlak di dalam semua keadaan.

Katanya, perlu ada pengecualian dalam pelucutan keanggotaan seorang Ahli Parlimen dan ADUN, memandangkan jika mereka terpilih sebagai Ahli Parlimen, Jemaah Menteri, ADUN dan EXCO kerajaan negeri, kesetiaan mereka tidak lagi terhad kepada parti tetapi lebih tinggi iaitu negara dan negerinya.

"Sebab yang boleh melucutkan keanggotaan Ahli Parlimen digubalkan berserta keadaan, perlu diserahkan kepada pengadilan mahkamah. Semua Ahli Parlimen perlu mendukung sistem perlembagaan di Malaysia yang mendukung kedaulatan undang-undang dan ketinggian perlembagaan.

"Kehendak parti tidak boleh menjadi agenda mutlak kerana setiap Ahli Parlimen bersumpah menurut Jadual Keenam Perlembagaan. Jadual Keenam menuntut taat setia untuk melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kehendak parti yang tidak bercanggah dengan kedaulatan undang-undang dan ketinggian perlembagaan perlu dihormati oleh setiap ahlinya yang terpilih menganggotai Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

Justeru, katanya tindakan berhati-hati dalam penggubalan Akta Anti Lompat Parti perlu, kerana boleh berlaku keadaan arahan parti untuk mengemukakan usul dan agenda yang boleh disifatkan melanggar peruntukan perlembagaan yang tidak boleh dipinda tanpa mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri.

"Malah boleh berlaku arahan sedemikian dalam pelaksanaan fungsi kuasa eksekutif. Dalam keadaan ini, Ahli Parlimen yang taat kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan ketinggian perlembagaan tidak wajar dihukum dengan pelucutan keanggotaannya dalam Parlimen.

"Misalnya, setiap Ahli Parlimen perlu taat kepada kedudukan Islam sebagai agama bagi persekutuan dan negeri, serta hormati lain-lain kedudukan yang dijamin perlembagaan seperti kewarganegaraan, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri serta kepentingan sah kaum lain," katanya.

Berita Harian X