KUALA LUMPUR: Pihak institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bukan hanya dibenar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta peperiksaan secara fizikal, malah melalui dalam talian atau hibrid selaras kemasukan pelajar secara berperingkat sejak 1 Mac lalu.
Sehubungan itu, menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), semua IPTS dinasihatkan untuk memperkemas pelan komunikasi serta kaedah pengurusan pelajar dengan lebih cekap di peringkat institusi masing-masing.
"Langkah ini bagi memastikan maklumat berkaitan proses kemasukan pelajar disampaikan dengan jelas dan seterusnya proses PdP dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
"IPTS diingatkan supaya membuat perancangan yang teliti dan komprehensif sebagai persediaan proses kemasukan semula pelajar ke institusi.
"Selain itu, mereka juga mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi menjamin aspek keselamatan dan kesihatan pelajar," katanya kepada BH, di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan pelajar melalui laporan media bahawa adanya sesetengah IPTS memaksa golongan itu menghadiri kelas dan peperiksaan secara fizikal.
Pada masa sama, menurut KPT, antara SOP ditetapkan ialah IPTS mestilah mempunyai kapasiti untuk menampung bilangan pelajar yang hadir secara fizikal dengan jumlah kemasukan pelajar yang dibenarkan sebanyak 70 hingga 100 peratus mengikut kapasiti IPT masing-masing dan pematuhan kepada SOP yang ketat.
Sebelum ini, kemasukan pelajar ke institusi pendidikan tinggi (IPT) termasuk IPTS dibenarkan secara berperingkat bermula 1 Mac lalu.
Ia seiring dengan kenyataan media KPT bertarikh 10 Februari lalu malah surat makluman berkaitan perkara ini juga diedarkan kepada semua IPTS melalui surat bertarikh 22 Februari lalu.