PUTRAJAYA: Lebih 700 pegawai kerajaan dan penjawat awam pelbagai agensi diraikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam majlis berbuka puasa di Kompleks Seri Perdana, malam ini.
Majlis yang diadakan di Laman Sari itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Syafiq Abdullah.
Ismail Sabri beramah mesra dengan pegawai kerajaan dan penjawat awam yang hadir.
Beliau bertanya khabar kepada 151 anak-anak yatim dari Rumah Amal Baitul Barokah Wal Mahabbah, Sepang, dan menyampaikan sumbangan wang tunai serta menandatangani buku Keluarga Malaysia kanak-kanak berkenaan.
Selepas berbuka puasa, beliau turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih berjemaah.