Jumaat, 8 April 2022 | 8:21pm
KKM akan mengambil sampel secara rawak daripada pelawat luar negara di lapangan terbang, bagi mengesan varian baru COVID-19. - Foto hiasan NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
KKM akan mengambil sampel secara rawak daripada pelawat luar negara di lapangan terbang, bagi mengesan varian baru COVID-19. - Foto hiasan NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Persampelan rawak kesan Omicron XE

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan pensampelan rawak di pintu masuk antarabangsa, bagi mengesan kehadiran mutasi baharu varian Omicron, XE dalam kalangan pengembara memasuki negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kementerian itu juga memantau kes COVID-19 di hospital.

Beliau berkata, KKM akan menggunakan semua protokol sedia ada.

"XE ialah Omicron Recombinant BA1 dan BA2, walaupun lebih kebolehjangkitan 10 peratus tetapi keparahan masih dipantau.

"KKM akan menjalankan pensampelan secara rawak di pintu masuk antarabangsa dan memantau kes-kes di hospital," katanya kepada BH.

Beliau berkata, usaha mengelakkan penularan varian berkenaan boleh dilakukan dengan meneruskan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP), ujian saringan COVID-19 menyeluruh, liputan vaksin dan penggunaan ubat antiviral.

Ditanya jika fokus akan diberikan terhadap negara tertentu, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya hanya akan menjalankan pemantauan rapi, selain penjujukan genom.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini mengesahkan Malaysia belum mengesan kehadiran mutasi baharu varian XE yang setakat ini, dikesan di Thailand.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya sedang mengikuti perkembangan berkaitan varian baharu itu, selain KKM sendiri belum mengetahui ciri-cirinya varian berkenaan.

Virus asal COVID-19 sudah bermutasi kepada beberapa varian. - Grafik NSTP
Virus asal COVID-19 sudah bermutasi kepada beberapa varian. - Grafik NSTP

Berita Harian X