Jumaat, 8 April 2022 | 1:15pm
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, menunjukkan heroin yang dirampas pada sidang media di IPK Perak, hari ini. - Foto NSTP/L MANIMARAN
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, menunjukkan heroin yang dirampas pada sidang media di IPK Perak, hari ini. - Foto NSTP/L MANIMARAN

Polis serah siasatan penuh kepada SPRM

IPOH: Polis menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung isu penjualan tanah untuk tujuan pembinaan lapangan terbang di Seri Iskandar di sini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata siasatan sedang dijalankan oleh SPRM, namun pihaknya menerima laporan polis daripada seorang individu berhubung isu itu.

"Kita sudah merujuk laporan berkenaan kepada SPRM sebab ia lebih kepada siasatan membabitkan pasukan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya keputusan membatalkan Kebenaran Merancang (KM) kepada Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan isu penjualan tanah untuk projek pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar, dekat sini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan berkata, ini memandangkan keputusan memberi kelulusan KM kepada syarikat swasta yang membeli tanah itu dilakukan PBT berkenaan yang sudah pasti melalui peruntukan undang-undang serta peraturan tertentu.

Terdahulu, media turut melaporkan, SPRM akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung perkara berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata, pihaknya akan mengenakan kompaun kepada mereka yang tidak memakai pelitup muka dan melanggar peraturan lain pada satu acara di Bulatan Sultan Azlan Shah (Bulatan Meru) dekat Meru Raya, yang tular di media sosial.

Media sebelum ini melaporkan, polis mengesahkan penganjur acara seakan konsert itu tidak memperoleh kebenaran daripada polis atau Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Berita Harian X