KUALA LUMPUR: PKR memutuskan pencalonan bagi pemilihan 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada Kongres Nasional yang sepatutnya berlangsung Isnin ini ditangguhkan ke 28 Mei depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti PKR, Dr Zaliha Mustafa, berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat pandangan Biro Politik PKR yang bermesyuarat kelmarin.
"JPP menerima baik pandangan Biro Politik dan merasakan bahawa penangguhan dan pertukaran tarikh ini bertepatan dengan proses pemilihan yang bakal dilaksanakan di kongres kelak.
"Di mana kempen yang boleh dilakukan calon-calon menjadi lebih bersasar apabila siapa yang menang akan diketahui lebih awal iaitu pada 21 Mei depan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mereka yang menang pada pemilihan bakal menjadi perwakilan ke Kongres Nasional dijadual pada Jun depan dan mereka juga layak untuk memilih.
Bagaimanapun, beliau berkata, tarikh pencalonan bagi enam jawatan pimpinan utama MPP PKR serta lima jawatan utama wanita dan AMK masih kekal pada Isnin ini.
Pemilihan PKR secara rasminya bermula hari ini dengan pencalonan bagi memilih kepemimpinan di 222 cabang PKR seluruh negara, dijadual berlangsung sehingga Ahad.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR satu-satunya parti politik yang mempunyai wakil sah dan berdaftar di semua 222 kawasan parlimen.
"Bermula hari ini 8 April hingga 10 April 2022 bermula proses penamaan calon peringkat pimpinan di semua 222 cabang seluruh negara bagi Pemilihan Keadilan 2022.
"Ini adalah antara sesuatu yang anggota PKR boleh banggakan," katanya dalam ciapan di Twitter beliau hari ini.
Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru sebelum ini mengesahkan bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, dijangka ditentang bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.