Jumaat, 8 April 2022 | 10:23am
Nurul Izzah Anwar.
Nurul Izzah Anwar.

'MoU rosak jika RUU Anti Lompat Parti gagal diluluskan'

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen pembangkang hari ini menyifatkan kegagalan kerajaan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti boleh mengakibatkan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) rosak.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, berkata ia juga menunjukkan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai sebelum ini tiada kredibiliti dan hanya mempercepatkan keruntuhan kerajaan sedia ada.

"Jika pilihan raya membawa kepada kerajaan dengan majoriti yang rapuh, kredibiliti MoU untuk mengekalkan kestabilan akan terjejas oleh kegagalan (untuk meluluskannya) minggu ini," katanya dalam ciapan di Twitter beliau.

Beliau yang juga bekas Naib Presiden PKR turut menggesa supaya anggota Kabinet yang menyokong dan menentang kelulusan RUU berkenaan mesti didedahkan kepada umum.

"Kelewatan (membentang) RUU Anti Lompat Parti adalah sama dengan ia dinafikan dan barisan Kabinet yang menyokong dan mereka yang menentang kelulusan RUU mesti didedahkan kepada umum," katanya tidak menolak kemungkinan tindakan lompat parti akan terus berlaku lagi selepas ini jika RUU itu gagal untuk diluluskan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini memaklumkan pembentangan RUU itu yang sepatutnya dibuat pada Isnin ini ditangguhkan ke satu lagi Mesyuarat Khas dalam masa terdekat.

Katanya, Mesyuarat Khas kedua itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selaras dengan Peraturan 11 (3) Peraturan-Peraturan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Biarpun pembentangan RUU itu ditangguhkan, Wan Junaidi menjelaskan Mesyuarat Khas Parlimen yang dijadual pada Isnin dan Selasa ini akan diteruskan seperti dirancang untuk membentang dan membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) No.3) 2022.

"Kedua-dua pihak menyatakan komitmen akan memberi sokongan bagi membolehkan RUU ini mendapat majoriti dua pertiga dalam sidang khas Parlimen pada 11 dan 12 April 2022," katanya.

Berita Harian X