Khamis, 7 April 2022 | 4:16pm

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin diteruskan

PUTRAJAYA: Kerajaan dan Pakatan Harapan sepakat dengan iltizam untuk meminda RUU Antilompat Parti walaupun beberapa parti termasuk UMNO dan DAP dilihat curiga perkara itu menjadi kenyataan.

Komitmen kedua-dua pihak ke arah merealisasikan pembentangan RUU terlihat menerusi kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini.

Kenyataan bersama itu menyebut, kedua-dua pihak mencapai kata sepakat mengenai beberapa tindakan susulan berkaitan undang-undang yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Sehubungan itu, Mesyuarat Khas Parlimen Isnin ini akan diteruskan bagi membahaskan Rang Undang-udang Perlembagaan (Pindaan) 2022 manakala Rang Undang-undang Antilompat Parti akan dibentang pada sidang khas lain.

Ini kerana, pembentangan dan pembahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 pada 11 dan 12 April ini membabitkan penggubalan punca kuasa (enabling clause) bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, bagi membolehkan Rang Undang-undang berhubung larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti, digubal di Parlimen.

"Draf awal akta itu akan diedarkan untuk penelitian ahli Jawatankuasa Pemandu Tranformasi dan Kestabilan Politik sebelum sidang khas Parlimen pada 11 April," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, kedua-dua pihak bersetuju untuk satu lagi sidang khas Parlimen diadakan untuk membentang, membahas, dan meluluskan undang-undang berkaitan dalam masa terdekat.

Satu lagi Sidang Khas Parlimen itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri, selaras dengan Peraturan 11 (3) Peraturan-Peraturan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Kedua-dua pihak menyatakan komitmen akan memberi sokongan bagi membolehkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 mendapat majoriti dua pertiga dalam Mesyuarat Khas Parlimen pada 11 dan 12 April.

Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan pembentangan RUU Antilompat Parti ditangguhkan sekali lagi selepas mesyuarat Kabinet semalam memutuskan supaya kajian terperinci dijalankan terhadap definisi 'lompat parti'.

Wan Junaidi dilaporkan mengesahkan mengenai penangguhan itu.

Berita Harian X