Khamis, 7 April 2022 | 10:36am
Gambar hiasan - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Gambar hiasan - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

44,376 kanak-kanak lengkap 2 dos vaksin COVID-19

PUTRAJAYA: Seramai 44,376 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah menerima dua dos lengkap vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids), setakat semalam.

Menerusi PICKids yang dilancarkan pada 3 Februari lalu, kerajaan menetapkan sela masa selama lapan minggu antara suntikan dos pertama dengan kedua.

Berdasarkan maklumat dalam laman sesawang COVIDNOW, sejumlah 38.1 peratus atau 1,353,370 kanak-kanak pula telah mendapatkan sekurang-kurang satu dos vaksin COVID-19.

Sebanyak 12,138 dos vaksin diberikan kepada golongan itu, semalam, membabitkan 1,911 dos pertama dan 10,227 dos kedua.

Bagi populasi dewasa pula, seramai 15,888,368 individu (67.5 peratus) sudah disuntik dos penggalak, manakala 22,955,102 (97.6 peratus) lengkap vaksinasi dan 23,232,340 (98.8 peratus) menerima sekurang-kurang satu dos.

Dalam pada itu, seramai 2,855,208 (91.8 peratus) populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun sudah lengkap imunisasi, manakala 2,953,452 (94.8 peratus) menerima sekurang-kurang satu dos vaksin.

Berita Harian X