Khamis, 7 April 2022 | 10:30am
Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 membuat kawalan rondaan berjalan kaki di Pos Pangkalan Pulau sempena Program Rondaan Bot PGA bersama pasukan Polis Marin di sempadan Malaysia-Thailand pada 23 Mac lalu. - foto hiasan BERNAMA

'Kandas walau dah bayar tekong RM1,700 seorang'

TANAH MERAH: Percubaan empat wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand untuk pulang ke negara asal dengan membayar RM1,700 seorang kepada tekong tidak kesampaian apabila ditahan pihak berkuasa di sekatan jalan raya Lalang Pepuyu, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi, berkata pada jam 9.14 pagi anggota PGA7 dan PGA8 yang sedang bertugas menahan sebuah Proton Exora dalam keadaan mencurigakan.

Anggota membuat pemeriksaan ke atas pemandu warga tempatan berusia 37 tahun yang membawa empat wanita dipercayai PATI warga Thailand berusia 29 sehingga 38 tahun.

Proton Exora yang ditahan anggota PGA7 dan PGA8 kerana membawa PATI warga Thailand di Sekatan Jalan Raya (SJR) Lalang Pepuyu, Tanah Merah semalam. - Foto ihsan PGA7
Proton Exora yang ditahan anggota PGA7 dan PGA8 kerana membawa PATI warga Thailand di Sekatan Jalan Raya (SJR) Lalang Pepuyu, Tanah Merah semalam. - Foto ihsan PGA7

"Pemeriksaan lanjut pada penumpang mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan dipercayai cuba masuk ke negara asal melalui pangkalan haram yang terdapat sepanjang Sungai Golok.

"Hasil siasatan, semua PATI itu dibawa dari Pulau Pinang dan Selangor. Lelaki serta empat PATI berkenaan ditahan manakala kereta dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhari berkata, turut dirampas ialah enam telefon bimbit serta wang tunai bernilai RM4,643.

"PGA terus mengetatkan kawalan di sempadan melalui Op Wawasan Kelantan terutama bagi mengekang kemasukan PATI melalui jalan sungai di sempadan Malaysia-Thailand," katanya.

Berita Harian X