Rabu, 6 April 2022 | 1:09pm

Tiada pilih kasih terhadap kereta Singapura

JOHOR BAHRU: Polis Johor tidak pilih kasih atau mengamalkan 'double standard' terhadap mana-mana pihak, malah sentiasa tegas dalam penguatkuasaan undang-undang jalan raya termasuk kepada warga Singapura.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Superintendan M Kumarasan, berkata sekiranya wujud kesalahan seperti maklumat yang disalurkan, kertas siasatan akan dibuka untuk tindakan lanjut sehingga ke pertuduhan di mahkamah.

"JSPT sentiasa menjalankan penguatkuasaan secara berterusan seperti Ops Utama (Laju) dan operasi rutin di semua lokasi iaitu lebuh raya, Jalan Persekutuan, Jalan Negeri dan Jalan Bandaran.

"Berkaitan kenderaan Singapura yang memandu secara melulu, memang tidak dinafikan ada kejadian sebelum ini dan memang tindakan diambil," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas tindakan beberapa buah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang dipandu laju dan memotong secara berbahaya di Persimpangan lampu isyarat Felda Gugusan Adela dari Sungai Rengit menghala ke Bandar Penawar pada Ahad lalu.

Video itu dirakam orang awam sebelum dimuatnaik di Facebook 'pen hitam' dan tular di media sosial.

Video yang berdurasi 41 saat memaparkan sebuah kereta berwarna emas yang dipandu secara berbahaya dengan cara memotong kenderaan lain secara melulu, dan boleh menyebabkan kemalangan.

Susulan rakaman terbabit pihak polis bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik Ibu Pejabat Kota Tinggi membuka kertas siasatan mengikut seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X