Isnin, 4 April 2022 | 10:19pm
Kelihatan pelajar hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Utama bagi menghadiri sesi persekolahan. Pelajar sekolah menengah menghadiri pembelajaran secara bersemuka tanpa penggiliran di sekolah mulai hari ini. - Foto ASYRAF HAMZAH
Kelihatan pelajar hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Utama bagi menghadiri sesi persekolahan. Pelajar sekolah menengah menghadiri pembelajaran secara bersemuka tanpa penggiliran di sekolah mulai hari ini. - Foto ASYRAF HAMZAH

Lebih 2 juta pelajar sekolah menengah mulakan PdP bersemuka

KUALA LUMPUR: Seramai 2,060,997 pelajar sekolah menengah terbabit dalam sesi persekolahan secara bersemuka mulai hari ini, setelah mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sejak awal sesi persekolahan 2022/2023 bulan lalu.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata bagi sekolah rendah pula, seramai 2,674,104 murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka sejak sesi persekolahan bermula pada 21 Mac lalu.

Katanya, ini menjadikan jumlah keseluruhan murid sekolah menengah dan rendah yang mengikuti PdP secara bersemuka adalah seramai 4,735,101 orang.

"Pada masa sama, seramai 273,025 murid Tahun 3, 4 dan 5 bagi sekolah rendah dengan enrolmen lebih 600 murid, masih hadir ke sekolah secara penggiliran.

"Kementerian Pendidikan sedang meneliti situasi tersebut bagi membolehkan kumpulan murid ini dapat hadir ke sekolah tanpa penggiliran," katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Radzi turut mengucapkan terima kasih kepada murid, guru dan ibu bapa yang sentiasa memberikan keutamaan pada aspek keselamatan bagi membolehkan operasi sekolah secara bersemuka berjalan lancar dan selamat. – BERNAMA

Berita Harian X