Isnin, 4 April 2022 | 9:59pm

Empat maut nahas empat kenderaan

KUALA NERUS: Empat maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah bas ekspres di Kampung Sungai Ikan Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu, jam 6.22 petang tadi.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Syed Mohd Shukri Tuan Yahya, 36, dari Kampung Panji; Muhammad Saufi Jusoh, 34, dari Kampung Losong Haji Mat Shafiel Mohd Shahlan, 37, juga dari kampung sama manakala identiti seorang mangsa dipercayai pemandu belum diperoleh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Azmi Omar, berkata kemalangan membabitkan sebuah van, Proton Wira, Persona dan sebuah bas ekspres.

Katanya, semua mangsa yang maut adalah penumpang dan pemandu sebuah van, dipercayai pekerja syarikat kimpalan berdasarkan tong gas dalam kenderaan terbabit yang remuk.

Kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah bas ekspres yang mengakibatkan empat maut dan dua cedera di Kampung Sungai Ikan, Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu semalam.- Foto NSTP/Zaid Salim
Kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah bas ekspres yang mengakibatkan empat maut dan dua cedera di Kampung Sungai Ikan, Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu semalam.- Foto NSTP/Zaid Salim

Beliau berkata, mangsa yang cedera adalah pemandu dan penumpang Proton Wira, Muhammad Fazil Husin, 33, dari Ajil, Kuala Berang dan Nursilawati Said @ Nawang, 42; manakala 13 penumpang termasuk dua pemandu bas ekspres dan pemandu Proton Persona, Chew Cheong Keng, 55, dari Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor tidak mengalami kecederaan.

"Sebaik menerima panggilan, seramai 18 anggota termasuk tujuh dari BBP Kuala Terengganu bergegas ke lokasi kejadian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Pemandu van jenis Daihatsu yang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dipercayai gagal memintas sebuah kenderaan sebelum melanggar Proton Persona dari arah bertentangan.

Keadaan van yang terlibat dalam kemalangan meragut empat nyawa. - Foto NSTP/ZAID SALIM
Keadaan van yang terlibat dalam kemalangan meragut empat nyawa. - Foto NSTP/ZAID SALIM

"Van terbabit kemudian melanggar bas ekspres yang dalam perjalanan ke Kota Bharu menyebabkan kenderaan terbabit remuk," katanya.

Katanya, Proton Wira dinaiki Muhammad Fazil Husin dan Nursilawati yang berada di belakang van terbabit kemudian melanggar Proton Persona yang berpusing selepas dirempuh van.

"Bomba mengambil masa hampir satu jam mengeluarkan semua mangsa yang tersepit dalam van berkenaan dengan mangsa terakhir dikeluarkan jam 7.14 malam," katanya.

Azmi berkata, mangsa yang maut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat manakala yang cedera turut dihantar ke hospital sama bagi rawatan lanjut.

Empat maut dalam nahas empat kenderaan di Kampung Sungai Ikan, Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu, petang tadi. - NSTP/ZAID SALIM
Empat maut dalam nahas empat kenderaan di Kampung Sungai Ikan, Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu, petang tadi. - NSTP/ZAID SALIM
Berita Harian X