Isnin, 4 April 2022 | 5:26pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Payhalal tawar kemudahan beli sekarang bayar kemudian Islam

KUALA LUMPUR: Syarikat gerbang pembayaran patuh Syariah, PayHalal, dengan kerjasama Atome, menawarkan penyertaan peniaganya kemudahan beli-belah sulung mereka 'i Buy Now Pay Later' (iBNPL) - satu program tanpa riba, sifar peratus faedah.

Peniaga yang mendaftar dengan PayHalal kini boleh mendapat manfaat daripada program itu serta daripada beribu-ribu pengguna pra-kelulusan Atome dengan had perbelanjaan maksimum RM5,000.

Dalam kewangan Islam, riba merujuk kepada faedah yang dikenakan ke atas pinjaman atau deposit.

PayHalal berkata program itu berhasrat bagi memberikan peniaga pendapatan yang mampan dengan menjana trafik ke kedai web dan kedai fizikal mereka dengan jenama terkenal seperti Zurich Takaful, Celcom, Misz Nina dan Cattle Queen.

"Kempen ini sudah bermula dengan promosi istimewa, menawarkan persediaan percuma kepada 786 peniaga pertama untuk gerbang pembayaran PayHalal, yang dimuatkan dengan kemudahan iBNPL yang diluluskan.

"Pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian dalam masa 30 minit dengan kelulusan segera atau melalui pasukan kembara rovers PayHalal, yang akan digerakkan untuk membantu peniaga luar talian," menurut kedua-dua syarikat itu dalam satu kenyataan bersama.

PayHalal menjangkakan jumlah pemprosesan pembayaran sebanyak RM8.61 bilion dan RM135 juta hasil pada tahun kewangan akan datang dengan permintaan yang berkembang pesat terhadap pembayaran Islam digital.

Pengarah Jualan PayHalal, Azhani Azman berkata program itu pada masa sama akan melonjakkan perniagaan Malaysia ke tahap baharu kerana ciri tersebut menawarkan faedah yang hebat kepada peniaga dan pengguna.

"iBNPL menawarkan peniaga akses pasaran yang lengkap kepada pembeli yang ingin memanfaatkan sepenuhnya bajet mereka," katanya dalam kenyataan yang sama.

Kemudahan iBNPL kini tersedia di https://payhalal.my/ibnpl/.

Peniaga perlu menyerahkan dokumen berkaitan, mendapatkan kelulusan sebagai peniaga rasmi PayHalal dan memuat turun aplikasi Atome di Google Play Store serta Apple App Store. – BERNAMA

Berita Harian X