Isnin, 4 April 2022 | 10:48am
Petugas perubatan memberi suntikan vaksin COVID-19 dos pertama kepada seorang kanak-kanak pada Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite Tapak Ekspo Seberang Jaya. - Foto NSTP/Danial Saad
Petugas perubatan memberi suntikan vaksin COVID-19 dos pertama kepada seorang kanak-kanak pada Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite Tapak Ekspo Seberang Jaya. - Foto NSTP/Danial Saad

Jumlah kanak-kanak lengkap vaksin naik 2 kali ganda dalam 24 Jam

KUALA LUMPUR: Seramai 14,949 kanak-kanak berumur antara lima dan 11 tahun lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam, peningkatan lebih daripada dua kali ganda dalam tempoh 24 jam.

Sehari sebelumnya, berdasarkan laman web COVIDNOW, hanya 6,129 kanak-kanak daripada kumpulan umur yang sama menerima dua dos vaksinasi COVID-19 sementara secara keseluruhan setakat ini, sejumlah 1,348,693 kanak-kanak telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,853,753 individu atau 91.7 peratus telah lengkap divaksinasi, manakala 2,949,653 atau 94.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, bagi populasi dewasa seramai 15,850,917 individu atau 67.4 peratus telah menerima dos penggalak dan 22,954,771 atau 97.6 peratus (dua dos) dan 23,230,565 atau 98.8 peratus (satu dos).

Semalam, sebanyak 15,708 dos vaksin diberikan membabitkan 2,178 suntikan pertama manakala 9,277 merupakan suntikan lengkap dan 4,253 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 68,991,116.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 30 kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Kedah dan Perak merekodkan kematian tertinggi, masing-masing tujuh kes diikuti Kelantan dan Selangor, tiga kes.

Pahang dan Pulau Pinang masing-masing merekodkan dua kes, sementara Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Sarawak, Terengganu dan Kuala Lumpur masing-masing merekodkan satu kes. – BERNAMA

Berita Harian X