Ahad, 3 April 2022 | 11:34am
Jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 68,972,658 dos. -Foto fail NSTP
Jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 68,972,658 dos. -Foto fail NSTP

Lebih 6,000 kanak-kanak di Malaysia terima dos lengkap

KUALA LUMPUR: Sejumlah 6,129 kanak-kanak berumur antara lima dan 11 tahun telahpun lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19, menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids), setakat semalam.

Berdasarkan laman sesawang COVIDNOW, sejumlah 1,346,625 kanak-kanak atau 38 peratus daripada populasi kanak-kanak, sudahpun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara, sejumlah 15,844,706 individu atau 67.3 peratus daripada populasi dewasa di negara ini sudah menerima dos penggalak, 22,954,459 individu (97.6 peratus) daripada populasi dewasa telahpun lengkap vaksinasi mereka, manakala 23,230,239 (98.8 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia antara 12 ke 17 tahun, sejumlah 2,853,182 individu atau 91.7 peratus daripada kumpulan itu telah lengkap divaksinasi, manakala 2,949,478 (94.8 peratus) menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 25,702 dos vaksin telah diberikan semalam, membabitkan 8,752 suntikan pertama, 5,292 suntikan kedua dan 11,658 suntikan dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 68,972,658 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 56 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Perak, Selangor dan Kuala Lumpur merekodkan kematian tertinggi sebanyak 10 kes diikuti Johor (lapan) dan Kedah (tujuh).

Melaka mencatatkan tiga kes, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing dua kes, manakala Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Terengganu, masing-masing satu kes kematian. – BERNAMA

Berita Harian X