Ahad, 3 April 2022 | 11:24am
Agihan dana Tabung Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air (Wakaf Air) setakat 28 Februari 2022.
Agihan dana Tabung Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air (Wakaf Air) setakat 28 Februari 2022.

Wakaf Air agih lebih RM800,000 jayakan projek di 21 lokasi

KUALA LUMPUR: Agihan dana dikumpul Tabung Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air (Wakaf Air), inisiatif dilancarkan pada Disember 2020 bagi membiayai projek perkhidmatan air berskala kecil, setakat ini sudah memberi manfaat kepada masyarakat di 21 lokasi seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata daripada dana sedia ada, sebanyak RM860,492.98 digunakan bagi membangun dan menyediakan perkhidmatan berkaitan air di 21 lokasi berkenaan setakat 28 Februari lalu.

"Banyak projek pembangunan wakaf yang secara langsung dan tidak langsung memberikan impak kepada kepada pembangunan sosioekonomi ummah," katanya ketika merasmikan sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2022 bertemakan 'Wakaf Mensejahterakan Keluarga Malaysia' secara maya, hari ini.

Wakaf Air adalah produk wakaf khas yang diwujudkan di bawah Wakaf Tunai Malaysia Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), membabitkan kerjasama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Mengikut laman web YWM, ia bertujuan mengumpul dana wakaf bagi membiayai projek-projek perkhidmatan air berskala kecil bernilai bawah RM50,000, antaranya sistem pengepaman sumber air dari perigi, pembelian alat-alat ganti serta penyelenggaraan bersifat 'sekali beri' (one-off).

Selain itu, dana bantuan operasi pencegahan serta pemulihan sistem bekalan air luar bandar dan penyediaan sumber air alternatif yang melibatkan kos penyelenggaraan yang rendah dan selamat digunakan.

Daripada 21 projek dilaksanakan setakat Februari lalu, agihan dana tertinggi adalah bagi Kelantan dengan lima projek menelan belanja RM261,795, diikuti Pahang juga dengan lima projek (RM248,175), tiga di Selangor (RM102,653.98), tiga di Kedah (RM102,343), tiga di Perak (RM100,750), satu di Johor (RM34,776) serta satu di Negeri Sembilan (RM10,000).

Setakat tempoh sama, wakaf dikumpul berjumlah RM3,573,849.67 dengan jumlah baki selepas pelaksanaan 21 projek terbabit adalah sebanyak RM2,713,356.69.

Sementara itu, Idris berkata, peranan wakaf sangat dinamik serta banyak membantu masyarakat dan dengan usaha digembleng semua pihak, ia boleh membantu mensejahterakan seluruh rakyat Malaysia.

"Sebagai contoh, pembangunan pangsapuri kos sederhana di Sungai Nibong dan Butterworth, Pulau Pinang memberi manfaat dalam meningkatkan kualiti hidup golongan asnaf dan golongan berpendapatan rendah di kawasan sekitar," katanya mengajak umat Islam menggandakan pahala dengan amalan berwakaf.

Berita Harian X