Sabtu, 2 April 2022 | 8:12pm
Keadaan air Sungai Bariawa yang dicemari tumpahan gam papan lapis. - Foto pembaca
Keadaan air Sungai Bariawa yang dicemari tumpahan gam papan lapis. - Foto pembaca

Tumpahan gam: Jangan guna air Sungai Bariawa, Pegalan

KENINGAU: Penduduk dinasihatkan tidak menggunakan air dari Sungai Bariawa dan Sungai Pegalan di sini susulan kejadian tumpahan gam akibat kemalangan membabitkan sebuah lori treler yang membawa muatan gam di Simpang Bariawa malam tadi.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kassim, berkata dalam kejadian itu jam 11.40 malam, sebuah lori treler dari Kota Kinabalu menuju sebuah kilang papan lapis di sini telah hilang kawalan semasa menuruni bukit sebelum terbabas dan terlanggar tebing bukit.

Pemandu lori tidak cedera, bagaimanapun kemalangan itu mengakibatkan lori berkenaan pecah dan tumpahan sisa gam mengalir ke kawasan aliran sungai kecil di Kampung Bariawa.

Lori muatan bahan gam terbabas di Simpang Bariawa, Keningau menyebabkan lori pecah dan tumpahan sisa gam mengalir ke kawasan aliran sungai kecil di Kampung Bariawa. - Foto pembaca
Lori muatan bahan gam terbabas di Simpang Bariawa, Keningau menyebabkan lori pecah dan tumpahan sisa gam mengalir ke kawasan aliran sungai kecil di Kampung Bariawa. - Foto pembaca

"Pasukan dari Jabatan Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia telah melakukan pemantauan di tempat kejadian dan mengambil sampel air sungai untuk tindakan lanjut. Laporan lanjut telah diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan.

"Orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang aktiviti di sungai itu yang disyaki tercemar," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pegawai Daerah Keningau Walter Kenson dalam kenyataan berasingan meminta penduduk kampung yang tinggal di kawasan Sungai Bariawa dan Sungai Pegalan agar tidak menggunakan air sungai itu hingga disahkan selamat oleh JAS.

Antara kawasan yang terjejas termasuk Bariawa Ulu, Bariawa Tengah, Bariawa Laut, Lingkudou, Durok, Masak, serta Ansip, dan penduduk juga diminta memaklumkan sahabat serta saudara mara yang tinggal di sepanjang sungai berkenaan agar menghindari air sungai itu.

"Tumpahan kimia (gam) mengandungi bahan Phenol Formaldehyde Resin yang dikategorikan sebagai toksik dan berbahaya kepada pengguna air sepanjang sungai yang tercemar.

"Jika sekiranya terdapat penduduk yg mengalami masalah kesihatan akibat penggunaan air dari sungai diminta segera ke hospital atau klinik perubatan berdekatan bagi mendapatkan rawatan segera," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X