Sabtu, 2 April 2022 | 4:07pm
Suasana Jalan Tuanku Abdul Rahman yang kembali sibuk dengan kehadiran orang ramai membeli-belah menjelang Ramadan esok. - NSTP/Aswadi Alias
Suasana Jalan Tuanku Abdul Rahman yang kembali sibuk dengan kehadiran orang ramai membeli-belah menjelang Ramadan esok. - NSTP/Aswadi Alias

Jalan TAR kembali meriah dikunjungi orang ramai

KUALA LUMPUR: Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) kembali meriah dan menjadi lokasi tumpuan orang ramai membeli barang keperluan menjelang Ramadan esok, selepas dua tahun melalui tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan BH mendapati Jalan TAR mula dikunjungi warga kota seawal jam 10 pagi tadi dan mula sesak selepas solat Zohor.

Orang ramai mengambil peluang membeli pakaian dan kelengkapan harian pada harga berpatutan yang ditawarkan puluhan gerai dan premis perniagaan di situ, selain beberapa peniaga menjual makanan dan minuman dilihat sibuk melayan pelanggan.

Pengunjung, Nor Haridzan Mohd Yusof, 60, berkata dia dan ahli keluarganya tiba di Jalan TAR pada jam 10 pagi tadi bagi mengelak kesesakan.

"Saya datang membeli baju untuk sambutan Aidilfitri nanti. Biasanya kami memang membeli kelengkapan raya lebih awal bagi memudahkan persiapan.

"Saya juga sudah membuat persiapan menyambut Ramadan esok dengan membeli stok barang mentah selama seminggu," katanya di sini, hari ini.

Tinjauan orang ramai mula keluar membeli barang keperluan untuk persiapan menyambut Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur. - NSTP/Aswadi Alias
Tinjauan orang ramai mula keluar membeli barang keperluan untuk persiapan menyambut Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur. - NSTP/Aswadi Alias

Peniaga pasar malam membuat persiapan untuk mula berniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman. - NSTP/Aswadi Alias
Peniaga pasar malam membuat persiapan untuk mula berniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman. - NSTP/Aswadi Alias

Suasana Jalan Tuanku Abdul Rahman yang kembali sibuk dengan kehadiran orang ramai membeli-belah menjelang Ramadan esok. - NSTP/Aswadi Alias
Suasana Jalan Tuanku Abdul Rahman yang kembali sibuk dengan kehadiran orang ramai membeli-belah menjelang Ramadan esok. - NSTP/Aswadi Alias

Seorang lagi pengunjung, Liza Hasanuddin, 41, berkata dia sudah menjangka Jalan TAR akan sesak, namun lega kerana peniaga dan pelanggan lain mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka.

"Saya sudah beli barang mentah, cuma hari ini keluar bersama suami dan anak untuk mencari barang lain menjelang Ramadan.

"Selain pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal juga dipraktikkan di sini sebagai langkah keselamatan mengawal penularan COVID-19," katanya.

Sementara itu, peniaga, Zulkefli Othman, 68, yang sudah lebih 40 tahun berniaga di Jalan TAR bersyukur apabila kawasan itu kembali meriah menjelang Ramadan.

"Saya lihat hari ini sangat meriah dengan kehadiran orang ramai berbanding dua tahun lalu kerana pelaksanaan PKP.

"SOP juga dipatuhi semua pihak bagi mengekang pandemik," katanya.

Tinjauan orang ramai mula keluar membeli barang keperluan untuk persiapan menyambut Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur. - NSTP/Aswadi Alias
Tinjauan orang ramai mula keluar membeli barang keperluan untuk persiapan menyambut Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur. - NSTP/Aswadi Alias

Peniaga, Amirulshah Muhamad, 29, pula berkata kehadiran orang ramai di Jalan TAR dijangka meriah hingga jam 12 tengah malam nanti.

"Banyak gerai pakaian dan makanan di sini dibuka hingga jam 12 tengah malam bagi memberi peluang orang ramai membeli-belah.

"Saya juga harap Jalan TAR akan kekal meriah sepanjang Ramadan hingga Aidilfitri nanti, sama seperti tahun sebelum PKP," katanya.

Selain itu, tinjauan di Pasar Jalan Raja Bot, Chow Kit dan Jalan Raja Alang, Kampung Baru pada tengah hari tadi, mendapati kawasan itu sesak dengan kenderaan serta orang ramai yang berpusu- usu membeli barangan keperluan asas untuk persiapan Ramadan.

Berita Harian X