Sabtu, 2 April 2022 | 2:16pm

Kilang proses air soya depan tandas

GEORGETOWN: Memproses air soya di hadapan tandas dan persekitaran berbau hancing, begitu keadaan menjijikkan sebuah kilang di Jalan Batu Lanchang, di sini.

Malah, tikus dan lipas berkeliaran di sekitar kilang itu ketika pemeriksaan menerusi Op Tegar dilakukan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), hari ini.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan JKNPP, Inspektor Kesihatan Mohd Wazir Khalid, berkata pemeriksaan mendapati perkakasan yang kotor, tidak digunakan serta tidak disimpan dipercayai menyebabkan kehadiran tikus dan lipas.

Lantai kilang memproses air soya juga didapati dalam keadaan berlumut, selain persekitarannya yang meloyakan.

"Kilang memproses soya itu pernah diperiksa pada 2019 dan dikenakan tindakan namun hari ini premis terbabit didapati masih dalam keadaan tidak memuaskan serta gagal mematuhi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM).

"Kehadiran lipas dan tikus di premis ini menunjukkan persekitaran tidak bersih dan kita bimbang makanan yang diproses akan tercemar, sekali gus menjejaskan kesihatan pengguna," katanya kepada media di sini, hari ini.

Sementara itu, pemeriksaan ke atas kilang memproses kuetiau di Jelutong, di sini, mendapati lantai premis dalam keadaan berminyak selain kebersihan persekitaran yang tidak memuaskan.

Terdapat minyak tepu yang tidak dibersihkan pada mesin memproses kuetiau, selain penemuan najis tikus di beberapa bahagian premis.

Mohd Wazir berkata, premis terbabit mempunyai sijil pengesahan logo makanan selamat tanggungan industri (MeSTI) namun didapati sudah tamat tempoh dua tahun lalu.

Kedua-dua kilang yang sudah beroperasi selama kira-kira 10 tahun itu dikenakan tindakan penutupan premis sehingga 16 April mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Pemilik selalu memberi alasan sukar menjaga kebersihan berikutan kekurangan pekerja, namun kita tidak akan berkompromi kerana ia membabitkan kesihatan orang awam.

"Kilang itu masing-masing menerima tiga notis dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM12,000," katanya.

Anggota Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menunjukkan peralatan proses pembuatan yang kotor ketika melakukan pemeriksaan dalam Ops Tegar di sebuah premis kilang memproses berasaskan produk kacang soya di Batu Lanchang, Georgetown. - NSTP/Danial Saad
Anggota Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menunjukkan peralatan proses pembuatan yang kotor ketika melakukan pemeriksaan dalam Ops Tegar di sebuah premis kilang memproses berasaskan produk kacang soya di Batu Lanchang, Georgetown. - NSTP/Danial Saad
Berita Harian X