Jumaat, 1 April 2022 | 10:23pm
Wee Ka Siong (tengah) beramah mesra bersama rakyat Malaysia di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bangunan Sultan Iskandar bagi meninjau suasana sempena pembukaan sempadan Malaysia-Singapura yang bermula tengah malam tadi. - foto BERNAMA
Wee Ka Siong (tengah) beramah mesra bersama rakyat Malaysia di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bangunan Sultan Iskandar bagi meninjau suasana sempena pembukaan sempadan Malaysia-Singapura yang bermula tengah malam tadi. - foto BERNAMA

'Bas ada pemandu tiada'

JOHOR BAHRU: Perkhidmatan bas henti-henti yang menjadi pengangkutan utama antara sempadan dua negara Johor-Singapura dijangka beroperasi sepenuhnya pada 1 Mei depan berikutan pelbagai isu yang perlu diselesaikan pengendali terutama membabitkan pemandu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pengusaha juga perlu membuat penyelenggaraan bas di PUSPAKOM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Bas ada tetapi pemandu tiada kerana ramai yang telah berhijrah kepada pemandu logistik pada waktu pandemik kerana industri berkenaan tidak terjejas ketika itu," katanya selepas melawat Bangunan Sultan Iskandar (BSI) hari ini.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, ketika ini hanya terdapat 30 bas bagi merentasi sempadan menerusi Tambak Johor. Sebanyak 24 daripadanya ialah bas di bawah Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) dan enam bas ulang alik.

"Ketika ini kedua-dua pihak iaitu Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Land Transport Autority (LTA) sedang berbincang jumlah bas yang akan dipersetujui. Perbincangan ini mengambil masa kira-kira dua minggu.

"Biasanya kalau kita benarkan 100 bas daripada Singapura menyeberang, mereka (Singapura) akan benarkan jumlah yang sama, jadi ini antara dua negara LTA dan APAD kita berbincang," katanya.

Menyentuh soal VTL darat, dalam tempoh peralihan ini, beliau berkata, ia akan diteruskan kerana semua tiket yang ada telah dijual sehingga semua bas henti-henti kembali beroperasi.

Berita Harian X