SEPANG: Balai Ketibaan Antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) agak lengang pada hari pertama pembukaan sempadan negara bermula jam 12.01 tengah malam tadi.
Tinjauan BH mendapati 62 penerbangan antarabangsa mendarat di KLIA hari ini dengan pesawat Saudi Airlines dari Jeddah yang turut membawa bersama jemaah umrah tempatan pertama mendarat kira-kira jam 1 pagi tadi.
Ini diikuti ketibaan pesawat sewa khas dari Yangon yang membawa 21 penumpang kira-kira jam 3.15 pagi, diikuti pesawat dari Kathmandu, Nepal jam 4.15 pagi.
Penerbangan antarabangsa lain yang mendarat di KLIA hari ini termasuk dari Jeddah, Arab Saudi; Kathmandu, Nepal; Dhaka, Bangladesh; Brisbane, Australia, Taipei, Taiwan; Chennai dan Hyderabad, India; London, United Kingdom; Jakarta, Indonesia; Muscat, Oman; Singapura dan Doha, Qatar.
Difahamkan, setakat jam 11 pagi tadi, seramai 1,000 pengembara sudah memasuki Malaysia melalui pintu masuk udara antarabangsa seluruh negara termasuk KLIA.
Jurucakap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata, sebelum pembukaan rasmi sempadan negara, KLIA menerima kira-kira 50 penerbangan masuk sehari dan jumlah itu meningkat kepada 62 hari ini.
"Kita jangkakan jumlah itu akan terus meningkat selepas ini. Pada masa ini, jumlah penerbangan antarabangsa keluar adalah tinggi terutama pesawat yang membawa jemaah yang menunaikan ibadat umrah.
"Antara penerbangan antarabangsa yang kali pertama mendarat di KLIA sejak sempadan negara ditutup ialah penerbangan dari Ho Chi Minh di Vietnam dan Brisbane di Australia, selain dari Phuket, Thailand; Phnom Penh, Kemboja dan Muscat, Oman membabitkan pesawat Malaysia Airlines dan pesawat syarikat penerbangan antarabangsa lain," katanya ketika ditemui.
Bagi menampung jumlah penumpang yang meningkat, katanya petugas MAHB di lapangan ditambah untuk membantu petugas di lapangan sedia ada bermula tengah malam tadi, termasuk memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Mereka terdiri petugas jabatan lain di MAHB yang bertugas secara sukarela 24 jam mengikut syif di empat 'touch point' di KLIA termasuk di Balai Ketibaan Antarabangsa dan Balai Pelepasan Antarabangsa.
"Kebiasaannya terdapat enam petugas MAHB di setiap 'touch point' dan jumlah itu akan ditambah sekali ganda kepada 12 orang pada setiap syif," katanya.