Khamis, 31 March 2022 | 2:05pm
Anggota JPS melakukan tindakan penahanan operasi kelengkapan ke atas sebuah kilang yang menjalankan aktiviti penapisan minyak makan di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang. - Foto ihsan JAS
Anggota JPS melakukan tindakan penahanan operasi kelengkapan ke atas sebuah kilang yang menjalankan aktiviti penapisan minyak makan di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang. - Foto ihsan JAS

Kilang penapisan minyak makan ditahan operasi

PASIR GUDANG: Sebuah kilang penapisan minyak makan di Kawasan Perindustrian Gudang, di sini, yang didapati melepaskan efluen tanpa rawatan ke dalam longkang awam dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK), semalam.

Menerusi kenyataan media di Facebook Jabatan Alam Sekitar (JAS), kilang berkenaan dikenakan tindakan susulan aduan yang diterima daripada orang awam.

"Tindakan diambil mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan kilang itu terpaksa memberhentikan aktiviti pengilangan secara serta-merta serta perlu mengambil langkah penambahbaikan dengan kadar segera bagi memastikan pencemaran yang berlaku dapat diatasi.

"Kilang yang sama juga dikenakan kompaun RM10,000 atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

"Persampelan sudah dijalankan dan sampel dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisa," kata kenyataan itu.

JAS turut mengingatkan pihak industri dan mana-mana individu supaya sentiasa memastikan pematuhan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya secara konsisten sepanjang masa.

Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727, email ke aduan_k@doe.gov.my atau ke portal aduan https://eaduan@doe.gov.my untuk melaporkan sebarang aduan mengenai pencemaran alam sekitar.

Berita Harian X