Khamis, 31 March 2022 | 10:20am
Masih ramai B40 dilaporkan tidak memanfaatkan program PeKA B40 yang disediakan secara percuma kepada penerima bantuan sara hidup kerajaan terutama mereka yang berusia 40 tahun ke atas membabitkan ketua keluarga dan pasangan. - Foto hiasan NSTP
Masih ramai B40 dilaporkan tidak memanfaatkan program PeKA B40 yang disediakan secara percuma kepada penerima bantuan sara hidup kerajaan terutama mereka yang berusia 40 tahun ke atas membabitkan ketua keluarga dan pasangan. - Foto hiasan NSTP

Masih ramai tak manfaatkan program PeKA B40

KUALA LUMPUR: Golongan B40 disaran menjalani saringan kesihatan percuma menerusi program Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth), Anas Alam Faizli, berkata saringan kesihatan itu juga percuma kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

"Seperti semua sedia maklum, COVID-19 memberi kesan lebih parah kepada mereka yang mempunyai penyakit tidak berjangkit. Kementerian Kesihatan (KKM) melalui program PeKA B40 yang ditadbir oleh ProtectHealth menyediakan saringan kesihatan percuma kepada semua golongan B40 dan penerima BPR," katanya menerusi Twitter.

Anas Alam berkata, PeKA B40 juga mempunyai manfaat alat bantuan perubatan hingga RM20,000 untuk setiap individu. Malah, program itu menyediakan manfaat insentif melengkapkan rawatan kanser hingga RM1,000 kepada semua individu.

"Manfaat terakhir ialah insentif pengangkutan kepada semua golongan B40 yang sudah melengkap saringan PeKA B40. Jadi ambil tahu status kesihatan anda. Dapatkan saringan kesihatan percuma PeKA B40 segera," katanya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dilaporkan berkata masih ramai tidak memanfaatkan program PeKA B40 yang disediakan secara percuma kepada penerima bantuan sara hidup kerajaan terutama mereka yang berusia 40 tahun ke atas membabitkan ketua keluarga dan pasangan.

Justeru, beliau berkata,KKM merancang menetapkan satu bulan sebagai Bulan Pemeriksaan Kesihatan Malaysia (BPKM) dengan cadangan awal, ia diadakan pada Julai depan.

Berita Harian X