Rabu, 30 March 2022 | 7:28pm
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil. - Foto fail NSTP
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil. - Foto fail NSTP

RUU Perlembagaan Anti Lompat Parti tidak babitkan ADUN

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2022 berkaitan Anti Lompat Parti jika diluluskan Parlimen hanya terpakai untuk Ahli Parlimen.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), setiap negeri perlu meluluskan pindaan enakmen atau undang-undang tubuh negeri masing-masing.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, perkara itu sememangnya antara yang menjadi topik perbincangan utama berkaitan RUU berkenaan selain istilah berkaitan lompat parti.

Katanya, pada masa ini hanya Pulau Pinang sudah mempunyai undang-undang berkaitan lompat parti.

"Pulau Pinang meluluskan Rang Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) pada2012 dilaksanakan untuk menyekat wakil rakyat daripada melompat parti untuk keuntungan peribadi," katanya kepada BH.

Beliau mengulas mengenai pembentangan usul RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2022 berkaitan Anti Lompat Parti dalam sidang khas Dewan Rakyat, 11 April ini.

Di Dewan Negara hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menggariskan tiga perkara utama mengistilahkan seseorang Ahli Parlimen melompat parti, dalam draf pentadbiran RUU Perlembagaan (Pindaan) berhubung Anti Lompat Parti.

Pertama, Ahli Parlimen itu dikira lompat parti apabila Ahli Parlimen terbabit yang memenangi pilihan raya, kemudian mengumumkan keluar parti politik dengan menyatakan menjadi ahli Bebas atau menyertai parti politik lain.

Kedua, seorang Ahli Parlimen memenangi kerusi Parlimen tetapi dipecat oleh parti, juga dikirakan sebagai melompat parti. Parti yang memecat Ahli Parlimen akan berhadapan risiko kehilangan kerusi dan pilihan raya perlu diadakan semula.

Ketiga, Ahli Parlimen Bebas yang memenangi kerusi ditandingi pada pilihan raya, namun mengumumkan menyertai mana-mana parti politik selepas kemenangannya.

Fahmi menjelaskan Pakatan Harapan (PH) masih menunggu laporan wakil mereka mengenai draf akhir RUU berkenaan.

Katanya, hari ini ada Jawatankuasa Teknikal RUU akan memperhalusi isu-isu berhubung pembentangan RUU Anti Lompat Parti.

"Pada masa ini, Jawatankuasa Pemandu MOU (Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik) belum terima deraf terkini RUU itu.

"Antara yang kami mahu teliti 20 isu yang dibangkitkan Peguam Negara mengenai RUU itu," katanya.

Berita Harian X