Rabu, 30 March 2022 | 6:48pm
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

MOTAC pergiat promosi, jalin kerjasama rentas kementerian, agensi

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memperhebatkan lagi aktiviti promosi pelancongan negara seiring dengan pembukaan sempadan antarabangsa bermula 1 April ini.

Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata walaupun sempadan negara ditutup dan belum dibuka sepenuhnya, aktiviti promosi tetap dilakukan dalam skala kecil bagi memastikan sektor pelancongan negara tidak tenggelam.

Langkah itu perlu supaya pelancong antarabangsa peka dan mengingati Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan apabila negara kembali mengalukan kedatangan mereka kelak.

Dengan pembukaan semula sempadan negara ini, MOTAC menyasarkan kemasukan kira-kira dua juta pelancong dari luar negara ke Malaysia pada tahun ini, dengan pendapatan sebanyak RM8.6 bilion.

"Namun perlu diambil kira, sasaran ini bergantung kepada pelbagai faktor, antara yang paling utama adalah kebenaran dan kemudahan pergerakan yang dikenakan terhadap negara asing terhadap rakyat mereka yang ingin melancong ke luar negara.

"Dari segi pengalaman kita dan negara luar, kita sedar banyak faktor yang mempengaruhi sasaran ini, bergantung pada faktor yang dinamik dan sentiasa berubah dari semasa ke semasa.

"Justeru, kita akan terus mempergiatkan lagi aktiviti promosi melalui pejabat Tourism Malaysia (TM) di luar negara bagi menarik minat pelancong ke Malaysia, sekali gus mencapai sasaran yang kita tetapkan, Insya-Allah," katanya kepada BH.

Bagi memastikan pembukaan semula sempadan berjalan dengan selamat dan lancar, Nancy berkata, MOTAC mengadakan kerjasama rentas kementerian dan agensi berkaitan.

Antaranya, kerjasama rapat dan sepenuhnya dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pengangkutan (MoT), Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen (JIM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membabitkan pembangunan prosedur operasi standard (SOP) pembukaan semula sempadan.

MOTAC juga bekerjasama dengan persatuan pelancongan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mempromosikan pelancongan selamat di premis pelancongan yang berkaitan seperti hotel, taman tema, pusat konvensyen, lapangan terbang serta pusat beli-belah.

"Ini bagi memastikan kebersihan dan keselamatan premis berkenaan berada pada tahap yang memuaskan sepanjang masa. Contohnya, program pensijilan Travel Safe Alliance (TSA), inisiatif yang diterajui sektor swasta yang diiktiraf oleh MOTAC, bertujuan meningkatkan keyakinan pengembara dan memastikan mereka mendapat pengalaman yang selamat.

"Empat pemain utama dalam industri pelancongan negara yang terbabit dalam kerjasama itu ialah Persatuan Penganjur dan Pembekal Konvensyen dan Pameran (MACEOS), Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Ejen Pelancongan dan Pelancongan Malaysia (MATTA) dan MAG membabitkan 'Travel Safe' untuk urusan perjalanan dan pelancongan, 'Clean and Safe Malaysia' untuk hotel dan 'SafeBE' untuk acara perniagaan dan pusat konvensyen.

"Di peringkat serantau dan antarabangsa, MOTAC bergiat aktif dalam penyertaan ASEAN, UNWTO dan APEC untuk meningkatkan penerimaan bersama dan pengiktirafan sijil vaksin yang dikeluarkan oleh negara anggota. Ini bagi memudahkan aktiviti pelancongan intra-ASEAN dan antarabangsa di seluruh dunia," katanya.

Nancy turut mengingatkan penggiat industri pelancongan tempatan supaya menyediakan pakej dan produk dengan harga kompetitif, termasuk butiran serta tarikan.

Katanya, harga produk dan perkhidmatan industri pelancongan negara masih bersandarkan ekonomi besar, yang mana kuasa pasaran membabitkan penawaran serta permintaan.

Berita Harian X