Rabu, 30 March 2022 | 2:46pm
Pameran DSA dan NATSEC Asia 2022 berlangsung sehingga esok dengan kehadiran 25,000 pelawat termasuk 5,000 dari luar negara, selain 350 delegasi dari 40 negara. - FOTO BERNAMA
Pameran DSA dan NATSEC Asia 2022 berlangsung sehingga esok dengan kehadiran 25,000 pelawat termasuk 5,000 dari luar negara, selain 350 delegasi dari 40 negara. - FOTO BERNAMA

Rangka strategi depani ancaman jenayah siber yang semakin serius

KUALA LUMPUR: Negara perlu merangka strategi dan inisiatif untuk persediaan lebih menyeluruh bagi mendepani ancaman keselamatan siber yang dianggap sebagai isu serius.

Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah berkata, ia mengambil kira kekerapan serta kadar intensiti jenayah itu berlaku pada tahun itu, selain tahun mendatang.

Beliau berkata, tiada negara akan terlepas dengan ancaman jenayah siber yang akan memberi kesan kepada aspek ekonomi, pertahanan, ketenteraan dan sekuriti domain.

"Atas alasan ini, negara perlu merangka strategi dan inisiatif untuk persediaan lebih menyeluruh, selain memperkukuh seluruh jentera keselamatan siber untuk menghadapi cabaran berbangkit.

"Pada masa sama, perlu ada kerjasama lebih besar di peringkat antarabangsa. Bagi tujuan ini, negara ASEAN perlu terus bekerjasama dengan berkongsi maklumat berhubung isu sekuriti dan keselamatan siber," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada persidangan meja bulat bertajuk 'Cyber Warfare - What Does it Look Like and What to Expect in 2022 and Beyond?' sempena Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan (NATSEC) Asia 2022 hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Cybersecurity Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Azumi Mohamed.

Sementara itu, Mohd Azumi berkata, peperangan siber kian meningkat dalam komuniti global yang disifatkan sebagai isu rentas sempadan yang menimbulkan pelbagai risiko.

"Serangan ini hanya membabitkan kos minimum berbanding kaedah konvensional. Ia turut memberi kesan mendalam di peringkat global.

"Dalam hal ini, kerosakan fizikal juga boleh dielakkan. Tiada keperluan untuk tentera dikerahkan jika tiada peperangan fizikal berlaku apabila serangan boleh dibuat melalui internet.

"Saya percaya beberapa negara akan terus menggunakan platform dalam talian untuk terus mendapatkan kelebihan dalam beberapa isu berkaitan" katanya.

Berita Harian X