Rabu, 30 March 2022 | 2:04pm
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (tengah) memakaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada salah seorang anggotanya dalam Istiadat Penghargaan Pingat Jasa Pahlawan Negara Peringkat Kontijen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas. - Foto HAZIRA AHMAD ZAIDI
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (tengah) memakaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada salah seorang anggotanya dalam Istiadat Penghargaan Pingat Jasa Pahlawan Negara Peringkat Kontijen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas. - Foto HAZIRA AHMAD ZAIDI

Anggota polis Kelantan pantau SOP di masjid

PASIR MAS: Polis Kelantan mengadakan pemantauan dengan menempatkan pegawai perhubungan masjid yang juga dalam kalangan anggota polis di masjid serta surau bagi memastikan masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila negara beralih ke Fasa Peralihan Endemik Jumaat ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pegawai masjid yang ditugaskan itu akan lebih tertumpu kepada masjid negeri, masjid daerah dan kepercayaan diberikan kepada ketua balai serta ketua polis daerah.

Katanya, pihaknya juga turut memantau surau kecil memandangkan kerajaan sudah membenarkan kelonggaran aktiviti mengimarah masjid termasuk pelaksanaan solat tanpa penjarakan fizikal selain turut diadakan juga bazar Ramadan.

"Bagi pasukan keselamatan terutamanya polis seperti mana yang saya umumkan sebelum ini bahawa setiap masjid ditempatkan pegawai perhubungan masjid untuk mereka bersama-sama dengan masyarakat setempat mengimarahkan majlis di surau atau masjid yang dinaungi.

"Dalam masa sama, mereka juga akan bersama dengan kariah untuk berbuka puasa serta bertarawih dan secara tidak langsung pihak kami juga dapat memerhatikan jika ada mana-mana masjid ataupun surau yang tidak mematuhi SOP.

"Namun apa yang penting kita sama-sama jaga keselamatan diri dan semoga kita semua dijauhi daripada wabak COVID-19," katanya dalam sidang media selepas Istiadat Penghargaan Pingat Jasa Pahlawan Negara Peringkat Kontijen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini, hari ini.

Turut hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Terdahulu Shafien memakaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada seramai 280 penerima membabitkan 80 anggota yang masih bertugas dan 200 anggota yang sudah bersara, malah ada juga penerima pingat yang diwakili oleh ahli keluarga disebabkan tidak dapat hadir atas faktor kesihatan.

Shafien berkata, ketika penularan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu, pihaknya akan ke rumah anggota bagi memberikan pingat, namun apabila majlis penganugerahan dibenarkan bersemuka inilah realitinya bagi mengenang jasa pahlawan dan juga anggota sama ada yang masih bertugas atau pun sudah bersara.

"Ia secara tidak langsung dapat menampakkan semangat anggota dan juga pesara walaupun mereka sudah bersara berpuluh-puluh tahun namun semangat dan fizikal mereka masih lagi kental," katanya.

Dalam perkembangan sama, Shafien berkata, berbuka puasa di kawasan yang terbuka masih lagi dibenarkan, namun ia bergantung kepada kesesuaian dan keluasan kawasan dengan mematuhi SOP.

"Bagaimanapun, pada bulan Ramadan yang akan disambut pada minggu hadapan, saya melihat rakyat akan lebih tertumpu mengadakan solat terawih berjemaah kerana sudah dua tahun menunaikan solat terawih di rumah masing-masing susulan penularan pandemik COVID-19.

"Dalam masa sama, saya juga melihat budaya orang kita yang sentiasa ke masjid dengan membawa sejadah dan ia kini sudah menjadi amalan setiap kali menunaikan solat," katanya.

Berita Harian X