Rabu, 30 March 2022 | 1:47pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TEB, Nuraslina Zainal Abidin.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TEB, Nuraslina Zainal Abidin.

TEB tingkat akses, kemahiran digital B40 dan asnaf

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Lembaga Tabung Haji (TH), Theta Edge Berhad (TEB), memperuntukkan sekitar RM1 juta menerusi inisiatif #thetaCares bagi meningkatkan akses dan kemahiran digital komuniti B40 serta golongan asnaf.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TEB, Nuraslina Zainal Abidin, berkata inisiatif #thetaCares dilaksanakan menerusi dua program iaitu pendigitalan komuniti B40 dan Digital Masjid.

Menerusi program pendigitalan komuniti B40, katanya, TEB menyedia dan memasang 1,100 komputer di beberapa lokasi terpilih di 11 negeri untuk kegunaan komuniti B40 dan golongan asnaf.

"Pemasangan komputer ini dilaksanakan secara berperingkat bermula Januari lalu hingga Disember tahun depan, dengan kerjasama rakan sinergi iaitu Lembaga Zakat Selangor, Majlis Belia Pahang, Majlis Bandaraya Melaka, Majlis Bandaraya Ipoh dan Yayasan Inovasi Malaysia.

"Program ini sudah bermula di Selangor serta Pahang dan dijangka akan dilaksanakan di Perak dan Melaka selepas ini.

"Ini adalah langkah pertama TEB dalam mengurangkan jurang digital untuk golongan miskin bandar dan luar bandar menerusi komputer yang dibekalkan," katanya pada sidang media di ibu pejabat TH, di sini, hari ini.

Terdahulu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Majlis Pelancaran #thetaCares di ibu pejabat TH.

Nuraslina berkata, TEB menerusi #thetaCares akan turut melaksanakan kursus bimbingan dalam talian untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain melaksanakan program kemahiran dalam talian berteraskan e-dagang, penulisan media sosial dan keusahawanan.

Katanya, golongan asnaf juga akan diberi sumbangan wang menerusi e-dompet untuk pembelian barangan secara dalam talian khusus untuk mereka memulakan perniagaan dalam talian.

Bagi program Digital Masjid, katanya, TEB akan menyumbang 540 komputer kepada masjid dan lokasi terpilih di beberapa negeri, selain mewujudkan sistem pengurusan kewangan serta dashboard bagi meningkatkan kemahiran dan ketelusan pemantauan sistem perakaunan masjid dan pihak berkuasa agama negeri.

Selain itu, katanya, #thetaCares turut menyediakan program kemahiran kepada kariah masjid serta memberi latihan digital kepada ahli jawatankuasa masjid untuk meningkatkan kemahiran penggunaan komputer mereka.

"Ketika ini, kita sedang berbincang dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk melaksanakan program Digital Masjid, dengan sasaran awal pembabitan lima masjid di setiap negeri.

"Kita sedang mencari masjid yang akan terbabit dalam program perintis ini, selain mengenal pasti pengendali program ini," katanya.

Berhubung pemilihan peserta kedua-dua program itu, Nuraslina memaklumkan, rakan sinergi TEB di setiap negeri bertanggungjawab memilih individu yang layak untuk mendapat bantuan menerusi inisiatif #thetaCares.

"Contohnya di Pahang, Majlis Belia Pahang akan mengenal pasti peserta. Mereka juga akan memilih lokasi pemasangan komputer, dengan pejabat Majlis Belia Pahang antara yang dipilih untuk pemasangan komputer.

"Kita juga bekerjasama dengan lembaga zakat negeri untuk mengenal pasti penerima bantuan dan mengetahui bagaimana untuk menaik taraf kemahiran penerima bantuan," katanya.

Nuraslina juga tidak menolak kemungkinan memperluaskan inisiatif #thetaCares menerusi kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia pada masa depan, dalam usaha membantu kerajaan meningkatkan pendapatan golongan sasar.

"Kerjasama itu mungkin boleh dibuat di fasa kedua. Untuk fasa pertama, TEB mahu wujudkan dahulu infrastruktur bagi membolehkan mereka mempunyai akses dan kemahiran digital, sebelum kita boleh bergerak kepada peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan," katanya.

Berita Harian X