Selasa, 29 March 2022 | 8:13pm
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin. - Foto fail NSTP
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin. - Foto fail NSTP

85,700 calon duduki SPM sesi kedua

MELAKA: Seramai 85,700 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menduduki peperiksaan sesi kedua yang dijadualkan pada 5 April hingga 19 Mei ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata calon berkenaan sebelum ini terpaksa menjalani kuarantin akibat COVID-19, terjejas banjir serta mendapat kebenaran khas daripada Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan (KPM).

"Sepertimana yang kita tengok, semua calon ini atau 21.1 peratus akan menduduki SPM sesi kedua dan tidak bermakna calon akan menduduki semua kertas peperiksaan. Mungkin ada satu atau dua kertas yang perlu mereka duduki pada fasa kedua sebab mereka positif COVID-19 atau terkesan akibat banjir.

"Insya-Allah kita yakin bahawa sesi kedua ini juga dapat dilaksanakan dengan selamat dan teratur," katanya kepada media selepas Majlis Kesyukuran Ppengurusan SPM 2021 Sekolah Menengah Teknik Melaka di Bukit Piatu di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 23,885 guru pula akan terbabit sebagai pemeriksa kertas peperiksaan bagi memastikan pemarkahan dapat dilakukan dengan baik dan keputusan peperiksaan dapat dikeluarkan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

Katanya, kumpulan guru yang dipilih itu mengikut kepakaran bidang masing-masing dan akan terlibat sebagai pemeriksa bagi kedua-dua sesi peperiksaan, manakala pertambahan guru pemeriksa akan ditambah mengikut keperluan semasa.

"Meskipun sesi peperiksaan akan berlangsung dua sesi, kementerian menerusi Lembaga Peperiksaan telah memutuskan keputusan peperiksaan yang membabitkan lebih 400,000 calon seluruh negara akan dikeluarkan serentak," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X