Selasa, 29 March 2022 | 5:49pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Polis guna teknologi AI kawal sempadan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menggunakan teknologi terkini termasuk 'artificial intelligence' (AI) atau kecerdasan buatan dalam memperkasakan tugas mengawal sempadan negara, termasuk mengekang jenayah rentas sempadan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali, berkata PDRM sentiasa berusaha untuk menambaik konsep penugasan seiring dengan perubahan semasa dan kecanggihan teknologi.

"Dalam konsep kawalan keselamatan sempadan, kita (PDRM) menggesa diperlengkapkan dengan aset teknologi AI, termasuk dron, sistem radar, alat 'thermal imager' (pengimejan haba), alat pengimbas Electro-Optical/Infra-Red (EO/IR), peralatan 'night vision' (teropong malam).

"Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang berusaha untuk mendapatkan peralatan itu dan perkara ini sedang dalam perbincangan.

"Pihak KDN memang memahami perkara itu serta keperluan memperkasa pasukan polis dalam menguatkuasakan undang-undang, memperketatkan dan mengawal keselamatan sempadan," katanya kepada BH dalam wawancara eksklusif sempena Hari Polis di Bukit Aman, baru-baru ini.

Beliau berkata, secara dasarnya kerajaan bersetuju untuk melengkapkan pasukan yang mengawal keselamatan sempadan negara dengan peralatan AI, mengambil kira sempadan darat dan lautan negara yang terlalu luas.

"Ini termasuk sempadan di Sabah dan Sarawak, lebih-lebih lagi apabila kerajaan Indonesia mahu membangunkan ibu negara baharu, Nusantara di Kalimantan Timur, yang mana dijangka lebih 100 juta populasi akan dibawa masuk ke sana.

"Ini akan menimbulkan masalah ekonomi dan sosial kepada kita nanti, justeru kita perlu memperkukuhkan kawalan keselamatan sempadan di Sabah dan Sarawak.

"Pihak Indonesia sudah mula membuat jalan di sepanjang sempadan, maka kita pun kena bersedia.

"Jadi, kita memerlukan strategi baharu dan peralatan yang terkini untuk menjaga dan mengawal sempadan yang luas ini," katanya.

Ditanya sama ada jumlah anggota PDRM dalam tugasan menjaga sempadan negara akan ditambah, Hazani menjelaskan kekuatan anggota tidak akan ditambah, tetapi PDRM akan mempelbagaikan fungsi pasukan di bawah JKDNKA, termasuk menggerakkan Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

"Unit Berkuda FRU sudah digerakkan untuk bersama-sama Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) untuk mengawal sempadan darat ketika ini. Pasukan itu akan buat rondaan berkuda bersama Unit Dron PDRM untuk meninjau kawasan sempadan.

"Ketika ini, anggota dan lapan kuda pasukan itu sudah memulakan tugas mengawal sempadan di Kedah dan Perlis, manakala enam kuda di sempadan Kelantan-Thailand akan bermula 1 April ini apabila sempadan dibuka," katanya.

Mengenai kemungkinan kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) aktif semula apabila sempadan negara dibuka bulan depan, beliau berkata, persiapan awal dari segi penguatkuasaan dan pematuhan undang-undang di sempadan negara sudah dilaksanakan sebaik pembukaan semula sempadan diumumkan Perdana Menteri pada 8 Mac lalu.

"Kita sudah bersiap siaga mengekang kemasukan PATI dan aktiviti jenayah rentas sempadan. PGA melalui lima briged, Pasukan Polis Marin (PPM), Unit Dron, Unit Berkuda FRU serta Unit Anjing Pengesan (K9) di bawah JKDNKA sudah siap siaga.

"Briged PGA iaitu Utara, Tengah, Tenggara, Sarawak dan Sabah akan melaksanakan sembilan operasi tetap membabitkan 166 pos kawalan keselamatan di seluruh negara. Briged Utara bertanggungjawab menjaga keselamatan sempadan di Pantai Barat dan utara Malaysia-Thailand, iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Briged Tengah pula menjaga keselamatan sempadan di Pantai Barat, iaitu di Selangor dan Johor, manakala Briged Tenggara ditugaskan kawal keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

Briged Sarawak pula, katanya, menjaga sempadan di Kalimantan-Sarawak, manakala Briged Sabah di sempadan Kalimantan-Sabah serta kepulauan di sekitar negeri berkenaan.

Hazani berkata, sekatan jalan raya (SJR) turut dilaksanakan di 13 lokasi pintu masuk sempadan negara di lima negeri, membabitkan tiga SJR di Perlis, iaitu di Chuping, Padang Besar dan Wang Kelian, dua di Kedah (Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung) dan satu di Perak (Pengkalan Hulu).

Selain itu, lima SJR di Kelantan, iaitu di Rantau Panjang, Bukit Bunga, Pengkalan Kubor, Banggol Kong dan Sri Tujuh serta dua SJR di Sabah, iaitu di Kalabakan dan Sapi Nangoh.

Beliau menegaskan, Pasukan Polis Marin melakukan rondaan mengekang kemasukan PATI dan aktiviti penyeludupan melalui pintu masuk negara yang tidak diwartakan membabitkan perairan negara, PGA pula mengawal sempadan daratan negara.

Berita Harian X