Isnin, 28 March 2022 | 11:03pm

Maritim Malaysia lupus 330,000 batang rokok seludup

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Terengganu melupuskan 330,000 batang rokok seludup dengan nilai duti eksais RM132,000, hari ini.

Bahan tembakau dalam 16,500 kotak rokok seberat 330 kilogram dengan anggaran nilai kasar keseluruhan lebih RM219,000 dirampas di kawasan pantai Pulau Karah berhampiran Pulau Bidong, Kuala Nerus pada Ogos tahun lalu.

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata barangan tidak bercukai itu dilupuskan dengan dihancurkan oleh mesin pengisar.

"Sisa pelupusan akan dibuang di tapak pelupusan sampah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Kampung Sungai Ikan, Kuala Nerus dengan disaksikan pegawai penyaksi pelupusan," katanya.

Muhammad Suffi berkata, rampasan rokok berkenaan dibuat selepas pihaknya menerima aduan berikutan penemuan longgokan kotak rokok yang dipercayai diseludup di atas pasir di kawasan pantai pulau berkenaan, kira-kira 1.5 batu nautika dari Pulau Bidong.

Berikutan maklumat itu, Bot Penggalang 45 diarah ke lokasi berkenaan bagi melakukan pemantauan sebelum menemui longgokan barang di kawasan pantai berkenaan.

Dipercayai semua rokok berkenaan adalah milik rangkaian sindiket pengedaran rokok seludup yang dipercayai menjadikan kawasan pulau tidak berpenghuni sebagai transit pengedaran.

Sindiket dipercayai memilih laluan laut susulan kawalan ketat di laluan darat kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan virus COVID-19 ketika itu.

Muhammad Suffi melupuskan sebahagian daripada 330,000 batang rokok seludup yang ditemui di Pulau Karah, berhampiran Pulau Bidong, Ogos tahun lalu menggunakan mesin pengisar. - Foto Maritim Malaysia
Muhammad Suffi melupuskan sebahagian daripada 330,000 batang rokok seludup yang ditemui di Pulau Karah, berhampiran Pulau Bidong, Ogos tahun lalu menggunakan mesin pengisar. - Foto Maritim Malaysia
Berita Harian X