MUAR: Malaysia bakal menghasilkan lalat larva Black Soldier Fly (BSF) yang dikenal pasti berpotensi menjadi makanan alternatif bagi haiwan ternakan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata projek bawah Program Bioremediasi Keluarga Malaysia diharap mampu mengurangkan beban pengusaha industri ternakan yang kini dibelenggu kenaikan harga dedak.
Beliau berkata, penghasilan lalat larva itu juga diharap dapat mengurangkan masalah pengurusan sisa domestik dan sisa pertanian di negara ini.
Katanya, program itu dibiayai menerusi dana Malaysia Inovasi Sosial (MyIS) MOSTI dan dilaksanakan oleh Institut Agro-Bioteknologi (ABI), Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Muar Selatan.
"Menurut data daripada Persatuan Usahawan Ruminan Negeri Sembilan 2022, harga dedak meningkat 30 peratus bermula sejak Mac tahun lalu.
"Sebagai contoh, harga makanan kambing pada Mac tahun lalu adalah sekitar RM52 bagi setiap 50 kilogram (kg) namun ketika ini ia meningkat kepada RM64 bagi setiap 50 kg," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Bioremediasi Keluarga Malaysia di Pusat Perkhidmatan Pertanian Bersepadu, PPK Muar Selatan di sini, hari ini.
Dr Adham berkata, MOSTI menjayakan Program Bioremediasi Keluarga Malaysia bagi memastikan beban dan kos penternak dapat dikurangkan.
Katanya, program itu selari dengan Dasar Sains dan Teknologi Negara 2021-2030 dan Agenda Sekuriti Makanan Negara.
"MOSTI memainkan peranan penting dalam memantapkan penyelidikan teknologi agromakanan dalam penghasilan formulasi makanan ternakan haiwan sebagai sumber protein alternatif melalui Projek Pemprosesan Bio-Sisa menggunakan larva BSF," katanya.
Beliau berkata, projek itu akan menjadi pemangkin perubahan bagi mengatasi kebergantungan terhadap bahan import makanan haiwan ternakan.
"Impaknya akan dapat mengawal harga pasaran daging dan seterusnya dapat menjamin keselamatan makanan negara," katanya.
Katanya, usaha itu juga dapat menjana pendapatan komuniti kawasan Muar Selatan dan Batu Pahat yang terbabit sebagai peserta yang menternak dan menjual larva lalat berkenaan.