Isnin, 28 March 2022 | 2:32pm
Johor membenarkan pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau dengan cara merapatkan sejadah tanpa bersentuhan antara jemaah dalam fasa peralihan endemik bermula Jumaat ini. - Foto hiasan
Johor membenarkan pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau dengan cara merapatkan sejadah tanpa bersentuhan antara jemaah dalam fasa peralihan endemik bermula Jumaat ini. - Foto hiasan

Johor benar rapat sejadah tanpa sentuhan

ISKANDAR PUTERI: Johor membenarkan pelaksanaan solat berjemaah di masjid dan surau dengan cara merapatkan sejadah tanpa bersentuhan antara jemaah dalam fasa peralihan endemik bermula Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Khalid, berkata perkara itu antara yang diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebagai Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukan Fasal 57(A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Beliau berkata, jemaah hendaklah membawa sejadah sendiri berukuran sekurang-kurangnya satu meter panjang dan 0.6 meter lebar serta lengkap dua dos suntikan vaksin.

"Program membudayakan Al-Quran, kuliah umum, kuliah khas, kuliah dhuha, kuliah Zohor dan kuliah Jumaat, kelas takmir, kelas Al-Quran, taklimat, kursus, forum, majlis zikir, majlis selawat, wirid dan tarikat dibenarkan dengan tidak melebihi tempoh dua jam.

"Aktiviti yang membabitkan bermalam ditangguhkan sehingga suatu arahan lain yang akan dimaklumkan.

"Untuk aktiviti memasak dalam kawasan masjid dan surau, tidak dibenarkan. Jamuan majlis boleh dilaksanakan di dalam masjid dan surau tetapi dilaksanakan secara berbungkus sahaja.

"Jamuan berhidang dibenarkan sekiranya terdapat program rasmi yang telah diprogramkan dengan tidak melebihi 50 jemaah.

"Majlis ucapan dan penyerahan bantuan kepada asnaf dalam kawasan masjid dan surau dibenarkan. Tetapi majlis ucapan dan penyerahan bantuan yang dianjurkan oleh parti politik atau wakil rakyat dalam kawasan masjid dan surau tidak dibenarkan, kecuali Menteri Besar Johor dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor sahaja," katanya pada sidang media di Iskandar Puteri, di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Khalid. - Foto NSTP/Omar Ahmad
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Khalid. - Foto NSTP/Omar Ahmad

Mohd Fared berkata, bagi solat tarawih sepanjang bulan Ramadan, hendaklah dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dan solat sunat witir tiga rakaat sahaja.

Katanya, imam yang bertugas digalakkan membaca surah dalam juzuk yang ke-30, dan imam jemputan solat sunat tarawih hendaklah yang telah mendapat surat kebenaran dari Kadi Daerah.

"Bagi memelihara kesucian agama Islam, umat Islam tidak dibenarkan menganjur atau menghadiri majlis berbuka puasa di rumah ibadat agama bukan Islam.

"Edaran bubur lambuk, jamuan majlis berbuka puasa, sahur dan moreh adalah dibenarkan untuk dilaksanakan secara berbungkus sahaja.

"Bagi Program Tadarus Al-Quran boleh dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi dua jam selepas selesai solat witir atau waktu yang telah diprogramkan oleh masjid dan surau. Pelaksanaan tazkirah sebelum, semasa dan selepas tarawih adalah tidak dibenarkan.

"Majlis Khatam Al-Quran dibenarkan dalam tempoh tidak melebihi dua jam. Bagi majlis Qiamullail dibenarkan dalam tempoh dua jam sebelum masuk waktu subuh," katanya.

Beliau berkata, semua jemaah masjid dan surau perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk memakai pelitup muka dan mengimbas MySejahtera.

"Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor hendaklah membuat pemantauan SOP masjid dan surau dan mengarahkan ia tutup jika didapati melanggar SOP," katanya.

Berita Harian X