Ahad, 27 March 2022 | 6:32pm

Pasangan raja sehari peraga baju pengantin ambil ijazah

KUALA NERUS: "Syukur kepada Allah SWT kerana hari ini bukan saja saya dan isteri bergelar graduan, malah lebih manis kami kini sudah menjadi suami isteri," kata Ameerul Hakim Muzi, 27, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengimejan Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Menurutnya, hari ini adalah detik bersejarah buat dirinya dan isteri, Nur Izzatul Nabilah Ghazali, 22, kerana selamat diijab kabul kira-kira jam 10.30 pagi tadi, manakala menerima ijazah pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-13 pada 3 petang.

Menceritakan lebih lanjut, Ameerul Hakim berkata, dia mengenali isterinya di tempat kerja di sebuah klinik swasta di Kuala Terengganu, lapan bulan lalu.

"Kali pertama memandang Izzatul, hati sudah tertarik dan masa itu saya tidak tahu isteri adalah junior di UniSZA. Selepas berkenalan, baru saya tahu isteri juga belajar di universiti dan jurusan yang sama," katanya yang berasal dari Kampung Seberang Takir, di sini.

Dia tidak menyangka hari bersejarahnya akan berlaku serentak dan seperti tidak percaya akan melalui dua perkara besar dalam tempoh empat jam.

Katanya, tidak salah baginya memilih untuk memperagakan busana pengantin ketika istiadat konvokesyen memandangkan hari ini adalah hari perkahwinannya juga.

"Ibarat pepatah 'kalau sudah jodoh, takkan ke mana'. Walaupun di kampus tidak mengenali, jodoh tetap menemukan kami ketika di tempat kerja. Saya bersyukur segala urusan berjalan lancar dan majlis perkahwinan kami diadakan serentak di sebuah hotel di Kuala Terengganu," katanya.

Sementara itu, Izzatul berkata, selepas tiga bulan mengenali suaminya, dia kemudian mendapat tawaran bertugas di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang.

"Saya pun tak sangka suami adalah senior di UniSZA, namun bersyukur dengan ketentuan ilahi yang mengatur perjalanan hidup kami. Buat masa ini, kami perlu berjauhan kerana suami di Terengganu, saya di Kuantan, namun jarak bukan jauh untuk kami bertemu," katanya yang berasal dari Kampung Padang Polis, Batu Rakit, di sini.

Ameerul Hakim dan Nur Izzatul Nabilah berpakaian pengantin menerima ijazah pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-13, hari ini. - NSTP/GHAZALI KORI
Ameerul Hakim dan Nur Izzatul Nabilah berpakaian pengantin menerima ijazah pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-13, hari ini. - NSTP/GHAZALI KORI
Berita Harian X