Ahad, 27 March 2022 | 6:18pm
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Syarikat Qatar digesa manfaat kerjasama dengan Malaysia - Azmin

KUALA LUMPUR: Syarikat Qatar digesa mengambil peluang daripada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dengan kerjasama syarikat Malaysia, seterusnya menjadi sebahagian landskap ekonomi serantau baharu.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, RCEP memberi laluan kepada perniagaan di rantau ini untuk bersepadu dengan perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia itu.

Menerusi catatan di Twitter, semasa pertemuannya dengan Menteri Perdagangan dan Industri Qatar, Sheikh Mohammed Bin Hamad Bin Qassim Al-Thani, katanya beliau memaklumkan kepada rakan sejawatnya itu bahawa RCEP telah berkuat kuasa untuk Malaysia.

RCEP meliputi 15 negara dengan gabungan populasi 2.3 bilion orang atau 30 peratus daripada jumlah penduduk dunia, menyumbang kira-kira 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

Selain pengurangan tarif, RCEP turut menangani liberalisasi perdagangan, meningkatkan kemudahan perdagangan dan menambah baik persekitaran perniagaan.

Pada pertemuan itu, kedua-dua pihak turut mengakui kepentingan Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC) Malaysia-Qatar dalam mengenal pasti potensi bidang baharu untuk kerjasama dua hala.

"Bagi memberi rangsangan baharu kepada perdagangan dua hala kami, saya mencadangkan Malaysia dan Qatar menetapkan sasaran perdagangan sebanyak AS$1 bilion (RM4.21 bilion) menjelang 2025.

"Saya percaya sasaran ini boleh dicapai berikutan perdagangan dua hala kami meningkat sebanyak 24.4 peratus pada tahun lalu dan eksport Malaysia ke Qatar naik sebanyak 31.9 peratus pada 2021 berbanding 2020, walaupun menghadapi cabaran ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini berikutan pandemik COVID-19," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kerajaan bersetuju mengadakan mesyuarat JTC ketiga bagi merangka laluan masa depan untuk pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara, dengan memberi tumpuan kepada sektor strategik dan berimpak tinggi.

"Malaysia dan Qatar juga akan terus memberi tumpuan kepada Perjanjian Jaminan Pelaburan untuk menggalakkan lebih banyak pelaburan rentas sempadan antara kedua-dua negara, selain kami berusaha untuk pemulihan ekonomi yang kukuh dan mampan," katanya.

Menteri Kanan itu antara anggota delegasi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa lawatan rasmi Perdana Menteri ke Qatar.

Qatar adalah dagang penting Malaysia dengan jumlah dagangan hampir AS$0.8 bilion (RM3.37 bilion) pada 2019, walaupun ia merosot kepada AS$0.5 bilion (RM2.11 bilion) dan AS$0.63 bilion (RM2.65 bilion) pada 2020 dan 2021 berikutan pandemik COVID-19.

Dalam satu lagi catatan di Twitter, Mohamed Azmin berkata, Agrico Agriculture Development W.L.L. (Agrico), Qatar berminat memperluas projeknya kepada menghasilkan produk organik berkualiti tinggi di Malaysia dan dalam proses untuk membeli tanah seluas 40.5 hektar di Cameron Highlands.

Projek itu melibatkan pelaburan AS$200 juta (RM842.1 juta) di Malaysia dalam tempoh tiga tahun.

Agrico memiliki dan mengendalikan ladang organik hidroponik, yang terletak 58 kilometer dari Doha.

Purata pengeluaran tahunan ladang itu sebanyak 3,000 tan dan lebih 90 peratus dibekalkan ke pasaran tempatan.

Syarikat itu turut merancang untuk melabur AS$160 juta (RM673.68 juta) lagi untuk menceburi bidang pembuatan berasaskan sawit di Malaysia, termasuk pengeluaran minyak masak, selain pengkomposan sisa pokok sawit sebagai substrat yang berkualiti tinggi untuk sistem hidroponik. – BERNAMA

Berita Harian X