Ahad, 27 March 2022 | 4:20pm

Tambahan 60 kuda bantu kawal sempadan negara

KOTA BHARU: Sebanyak 60 kuda ditambah bagi membantu memperkasakan Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terutama dalam mengawal kawasan sempadan negara selepas pintu antarabangsa dibuka pada 1 April ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali, berkata sebelum ini unit berkenaan mempunyai 40 kuda, namun ia ditambah kepada jumlah keseluruhan 100 ekor selepas melihat keberkesanan Unit Berkuda dalam mengawal keselamatan setempat.

Beliau berkata, kebenaran membawa masuk kuda berkenaan sudah diluluskan dan kesemua haiwan berkenaan kini ditempatkan di Bukit Kayu Hitam, Kedah, sebelum diguna untuk tujuan rondaan di darat.

"Pihak keselamatan terutama Pasukan Gerakan Am (PGA) sentiasa bersiap sedia jika sempadan negara dibuka selain turut merangka penyelarasan baharu sebagai persediaan jika berlaku sesuatu tidak diingini.

"Setakat ini, masih belum ada penambahan anggota dilakukan untuk menjaga sempadan negara kerana keanggotaan sedia ada mencukupi selain PGA turut dibantu agensi keselamatan lain.

"Selain itu, kita juga menggunakan inisiatif lain seperti penggunaan dron agar kawalan menyeluruh sama ada di darat, udara atau air dapat dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perjumpaan Semula Bekas Anggota Batalion 11 Pasukan Polis Hutan di Batalion 8 PGA, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Hazani (tiga dari kiri) merasmikan Majlis Perjumpaan Semula Bekas Anggota Batalion 11 Pasukan Polis Hutan di Batalion 8 PGA, Pengkalan Chepa, hari ini. - NSTP/Syaherah Mustafa
Hazani (tiga dari kiri) merasmikan Majlis Perjumpaan Semula Bekas Anggota Batalion 11 Pasukan Polis Hutan di Batalion 8 PGA, Pengkalan Chepa, hari ini. - NSTP/Syaherah Mustafa

Yang turut hadir, Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Hasan Basri Ahmad Safar dan Pegawai Pemerintah Batalion 8 (PGA8) Superintendan Mat Shukor Yusof.

Hazani berkata, isu penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan sempadan masih berlaku, sama ada ketika negara dalam tempoh pandemik mahupun endemik.

"Justeru, pihak keselamatan akan menjalankan pelbagai strategi dalam menangani isu berkenaan selain memperketatkan kawalan sempadan serta memberi fokus kepada kawasan 'hotspot' yang menjadi tumpuan penyeludup bagi kemasukan PATI.

"Selain itu, pihak kami juga dalam perancangan mewujudkan Unit Anjing Pengesan (K9) yang akan digunakan untuk sebarang operasi serbuan," katanya.

Sebanyak 60 kuda ditambah bagi membantu memperkasakan Unit Berkuda FRU terutama dalam mengawal kawasan sempadan negara. - Foto BERNAMA
Sebanyak 60 kuda ditambah bagi membantu memperkasakan Unit Berkuda FRU terutama dalam mengawal kawasan sempadan negara. - Foto BERNAMA
Berita Harian X