BH27SYORPJKM-P/Jertih: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diminta mempelbagaikan lokasi penganjuran Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang akan dilanjutkan selepas dijadual tamat pada akhir bulan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Datuk Nawi Mohamad, berkata penganjuran PJKM di lokasi berbeza setiap bulan dapat membantu mengurangkan beban rakyat terutama yang tinggal di pedalaman berbanding diadakan di lokasi sama dari semasa ke semasa.
"Anjur di lokasi berbeza bagi memberi peluang lebih ramai rakyat mendapatkan bekalan barang keperluan harian pada harga lebih murah berbanding pasaran. KPDNHEP juga disaran bekerjasama dengan wakil rakyat dan pemimpin masyarakat sebelum menganjurkan PJKM.
"KPDNHEP boleh minta pandangan dan pendapat wakil rakyat serta pemimpin masyarakat untuk menentukan lokasi sesuai mengadakan PJKM," katanya pada sidang media selepas program menyantuni warga emas uzur sempena Ramadan di Kampung La, Hulu Besut, di sini semalam.
Beliau yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, memberi contoh, PJKM di kawasan Hulu Besut diadakan di Kampung Batu pada 13 Februari dan sekali lagi dianjurkan di lokasi sama pada Jumaat lalu.
"Jika KPDNHEP mengadakan PJKM di lokasi yang sama setiap minggu atau bulan, usaha kerajaan mengurangkan bebanan rakyat di kawasan luar bandar akan terbantut. Pada persidangan Dewan Undangan negeri (DUN) Terengganu yang berakhir Khamis lalu, semua wakil rakyat bersetuju PJKM diteruskan, tetapi perlu di lokasi berasingan," katanya.
Nawi berkata, wakil rakyat di Terengganu juga bersetuju menyediakan pelbagai kemudahan, termasuk kawasan luas yang boleh menempatkan jumlah ruang niaga seperti ditetapkan KPDNHEP.
"Kita juga akan membantu KPDNHEP mendapatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk pejabat daerah untuk menghebahkan PJKM kepada seluruh rakyat, terutama di kawasan pedalaman," katanya turut meminta PJKM diteruskan sehingga ekonomi negara dan rakyat pulih sepenuhnya, bukan terhad sehingga Ramadan ini sahaja.