Sabtu, 26 March 2022 | 4:14pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasmi pertamanya selaku Perdana Menteri ke Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) selama lima hari bermula esok hingga 31 Mac. - BERNAMA
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasmi pertamanya selaku Perdana Menteri ke Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) selama lima hari bermula esok hingga 31 Mac. - BERNAMA

Ismail Sabri lawat Qatar, UAE bermula esok

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasmi pertamanya selaku Perdana Menteri ke Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) selama lima hari bermula esok hingga 31 Mac.

Dalam lawatan ke Qatar, Perdana Menteri dijadual membuat kunjungan menghadap Amir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani dengan agenda utama pertemuan mengenai pengukuhan hubungan dua hala Malaysia-Qatar yang sedia terjalin dalam pelbagai bidang kerjasama.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar memaklumkan, kedua-dua pemimpin akan menetapkan hala tuju kerjasama ekonomi dan usaha pemulihan pasca-pandemik, selain bertukar-tukar pandangan mengenai isu antarabangsa yang penting.

"Perdana Menteri juga akan menghadiri sesi libat urus dengan komuniti perniagaan dan Keluarga Malaysia di Doha," kata kenyataan berkenaan.

Di UAE pula, Ismail Sabri dijadual membuat kunjungan menghadap Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan dan Timbalan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera UAE, selain pertemuan dengan Naib Presiden merangkap Perdana Menteri UAE dan Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum.

Kedua-dua pemimpin akan menyentuh pelbagai kemajuan bidang kerjasama antara kedua-dua negara, termasuk dalam menangani pandemik COVID-19 dan usaha pemulihan pasca pandemik, selain isu-isu antarabangsa berkepentingan.

"Ketika di Dubai, Perdana Menteri dijadual melawat Pavilion Malaysia di Expo 2020 Dubai serta bertemu komuniti perniagaan dan Keluarga Malaysia di sana," kata Kementerian Luar.

Dalam lawatan itu, Ismail Sabri akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Yang turut serta, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup dan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh.

Lawatan Perdana Menteri ke kedua-dua negara akan mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 ketat yang berkuat kuasa di Malaysia, Qatar dan UAE.

Berita Harian X