MELAKA: Sebanyak 10 basikal disediakan kepada kanak-kanak dan remaja berusia tujuh hingga 15 tahun yang menunaikan solat Isya, tarawih, witir dan Subuh berjemaah di Surau Jumaat Ar- Raudhah, Taman Paya Rumput Perdana, dekat sini selama 40 hari sehingga sepanjang Ramadan ini.
Ia insentif pengurusan surau berkenaan untuk menghargai kesungguhan mereka dan bagi membentuk remaja cemerlang dalam beribadah. Basikal bagi menjayakan Program Imarah Ramadan 1443H itu disumbangkan oleh individu dan bank selain wakil rakyat kawasan.
Pengerusi surau, Mohd Nasir Bakri, berkata ia juga antara usaha pihaknya menanam minat kepada remaja untuk solat berjemaah di surau atau masjid, sekali gus membentuk generasi masa depan yang menyokong syiar Islam.
"Mereka disyaratkan mendaftar masuk setiap kali ke surau dan yang berjaya menamatkan 40 hari solat berjemaah secara istiqamah akan menerima hadiah basikal yang disediakan. Selepas dua hari inisiatif ini dilancarkan, ada pertambahan mendadak pengunjung berbanding sebelum ini.
"Apa yang positif adalah remaja turut mengajak ibu dan bapa ke surau, sekali gus menanam minat keluarga untuk solat berjemaah bersama-sama. Buat masa ini rekod kehadiran sebelum Ramadan dicatat bagi solat Isyak dan Subuh," katanya.
Beliau berkata, ia permulaan yang amat positif untuk menjadikan surau lokasi pertemuan dan ikatan silaturahim dalam ahli keluarga serta penduduk dan memenuhi tuntutan agama.
Penduduk, Roslan Yahya, berkata program berkenaan memberi impak terhadap pembentukan remaja cemerlang dunia dan akhirat, melatih mereka hadir solat berjemaah dari usia muda dan meneruskannya kerana kecintaan memenuhi sunnah nabi serta memperolehi ganjaran pahala yang lebih besar.