Sabtu, 26 March 2022 | 11:04am
Keadaan Pantai Tanjung Dawai dekat Sungai Petani, Kedah, yang tercemar sejak beberapa tahun lalu, menjejaskan keselesaan pengunjung. - FOTO CAP
Keadaan Pantai Tanjung Dawai dekat Sungai Petani, Kedah, yang tercemar sejak beberapa tahun lalu, menjejaskan keselesaan pengunjung. - FOTO CAP

Pantai Tanjung Dawai tercemar

GEORGETOWN: Kerajaan Kedah dan Majlis Daerah Kuala Muda (MDKM) digesa mengambil tindakan segera mengatasi masalah pencemaran pantai Tanjung Dawai yang menyebabkan pantai kelihatan kotor dan air laut bertukar warna kehitaman.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader, berkata tinjauan pihaknya mendapati, selain sisa pokok reput yang tumbang akibat hakisan, ada juga bahan buangan plastik dan sisa pukat nelayan merata-rata di sepanjang 600 meter pantai berkenaan.

Keadaan di Pantai Tanjung Dawai dekat Sungai Petani, Kedah. - FOTO CAP
Keadaan di Pantai Tanjung Dawai dekat Sungai Petani, Kedah. - FOTO CAP

"Kami kesal dan bimbang dengan masalah itu kerana ia bukan saja mencemarkan alam sekitar, tetapi turut menjejaskan keselesaan orang ramai yang berkunjung. CAP pernah membuat tinjauan di kawasan terbabit pada 2017 dan menggesa kerajaan mengambil tindakan mengatasi masalah itu, tetapi ia kini menjadi semakin buruk.

"Sehubungan itu, CAP menggesa kerajaaan negeri dan MDKM menjalankan siasatan punca pencemaran ini dan mengambil langkah berkesan supaya tidak berlarutan sehingga menimbulkan kesan lebih buruk pada masa akan datang," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Selain mengatasi masalah hakisan, beliau menegaskan, penguatkuasaan undang-undang dan tahap kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar dalam kalangan orang ramai perlu dipertingkatkan.

Pantai Tanjung Dawai dekat Sungai Petani, Kedah. - FOTO CAP
Pantai Tanjung Dawai dekat Sungai Petani, Kedah. - FOTO CAP

"Jika langkah segera tidak diambil seperti membina benteng pencegah hakisan, menanam semula pokok dan membersihkan kawasan pantai itu, ia boleh menjejaskan aktiviti ekonomi penduduk tempatan.

"CAP juga meminta kerajaan Kedah, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak lain yang terbabit supaya mendedahkan kepada umum hasil siasatan punca kejadian itu, termasuk tindakan yang diambil bagi mengatasinya," katanya.

Berita Harian X