Jumaat, 25 March 2022 | 10:59am

Remaja selamatkan mangsa kemalangan terima penghargaan polis

BOTA: Tindakan berani remaja lelaki menyelamatkan wanita dan anaknya selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam tali air di Kilometer 32 Jalan Bota Kiri-Ulu Dedap di sini, pada 17 Mac lalu mendapat penghargaan polis.

Sijil penghargaan diterima Mohammad Amirul Aiman Zailani, 17, sempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 disampaikan Timbalan Ketua Polis Perak Tengah, Deputi Superintendan Mohd Uzir Ismail.

Mohammad Amirul Aiman, berkata dia terharu menerima sijil itu dan mengakui ikhlas membantu wanita terbabit bersama anaknya walaupun berisiko kepada dirinya kerana situasi ketika itu hujan lebat.

"Saya tidak tergamak meninggalkan wanita itu bersama anaknya apatah lagi ketika itu hujan sangat lebat dan arus air juga deras. Sebab itu tanpa berlengah saya terus terjun ke tali air untuk selamatkan mereka.

"Saya bersyukur kami selamat, cuma saya agak sedih kerana tidak dapat membantu seorang lagi anak wanita itu yang masih berada dalam kereta," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, di sini, hari ini.

Menceritakan kembali detik cemas itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil Shah, Seberang Perak itu berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Felcra Seberang Perak dari Teluk Intan bersama ibu dan kakaknya.

Katanya, kereta mereka ditahan seorang lelaki yang meminta bantuan untuk menyelamatkan dua mangsa yang sudah keluar melalui tingkap kereta, manakala kenderaan mereka sudah tenggelam.

"Lelaki itu memberitahu dia tidak pandai berenang dan saya terus terjun untuk membantu mangsa. Ibu (Roslinah Osman, 47) tidak melarang tetapi meminta saya berhati-hati.

"Saya berenang sebelum dapat memegang mangsa dan anaknya. Wanita terbabit memberitahu seorang lagi anaknya masih berada dalam kereta, namun saya tidak dapat membantu kerana kereta sudah tenggelam ketika itu," kata anak keempat daripada enam beradik itu.

Selain Mohammad Amirul Aiman, seramai 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah diwakili Megat Mohd Dahari Megat Jamaludin dan enam anggota BBP Teluk Intan diwakili Mohamad Badrun Mohd Said yang terbabit operasi berkenaan turut menerima sijil penghargaan.

Mereka antara 110 individu di daerah ini termasuk anggota polis menerima sijil berkenaan.

Mohd Uzir (tengah) bersama Mohammad Amirul (dua kanan), Megat Mohd Dahari (dua kiri) dan Mohamad Badrun (kiri) pada sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 di IPD Perak Tengah di Seri Iskandar, Bota, hari ini. - Foto NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Mohd Uzir (tengah) bersama Mohammad Amirul (dua kanan), Megat Mohd Dahari (dua kiri) dan Mohamad Badrun (kiri) pada sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 di IPD Perak Tengah di Seri Iskandar, Bota, hari ini. - Foto NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Berita Harian X