Khamis, 24 March 2022 | 6:22pm

Pengembara tidak perlu jalani ujian COVID-19 serta-merta bermula 1 April

KUALA LUMPUR: Pengembara tempatan atau warga asing yang memasuki negara bermula 1 April depan, tidak lagi perlu melaksanakan ujian saringan COVID-19 secara serta-merta di pintu masuk negara.

Itu antara beberapa dasar baharu digariskan dalam protokol am untuk pengembara diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang mula berkuat kuasa apabila negara memasuki fasa peralihan ke endemik 1 April ini.

Khairy berkata, pengembara tempatan atau warga asing masih perlu menjalani ujian saringan COVID-19, namun mereka diberi tempoh 24 jam untuk berbuat demikian selepas memasuki negara.

"Pengembara dikehendaki menjalani ujian RTK-Antiten (Ag) profesional, sama ada di fasiliti kesihatan swasta di pintu masuk antarabangsa atau di luar pintu masuk antarabangsa dalam tempoh 24 jam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata Malaysia dan Thailand mencapai kata sepakat membuka pintu sempadan darat di Bukit Kayu Hitam-Sadao dan Wang Kelian-Wang Prachan, mulai 1 April ini. - Foto BERNAMA
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata Malaysia dan Thailand mencapai kata sepakat membuka pintu sempadan darat di Bukit Kayu Hitam-Sadao dan Wang Kelian-Wang Prachan, mulai 1 April ini. - Foto BERNAMA

"Secara amnya di lapangan terbang, tiada lagi keperluan untuk melakukan ujian saringan COVID-19. Kaunter ujian KKM akan ditutup pada 1 April.

"Namun, Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) masih ada klinik swasta dan pengembara boleh buat ujian di situ, atau mereka boleh lakukannya di mana-mana klinik di destinasi mereka di Malaysia, dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

"Pengendali ujian itu akan melaporkan keputusan ujian RTK-Ag itu ke dalam aplikasi MySejahtera," katanya ketika sidang media di Parlimen, hari ini.

Khairy berkata, semua pengembara dari luar negara wajib memuat turun dan mendaftar sebagai pengguna MySejahtera sebelum datang ke Malaysia.

Tegasnya, pengembara yang melanggar peraturan dengan tidak membuat ujian COVID-19 dalam tempoh 24 jam, akan diambil tindakan tegas, termasuk berisiko diusir keluar dari Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, kanak-kanak berumur bawah enam tahun (mengikut tahun kelahiran) tidak perlu menjalani ujian pra pelepasan dan ujian semasa ketibaan.

"Ujian RTK-Ag ini mesti dibuat secara profesional kerana ia mesti dimasukkan dalam MySejahtera, dan hanya makmal bertauliah boleh memuat naik data berkenaan.

"Jika pengembara tidak lakukan ujian RTK-Ag profesional dalam tempoh 24 jam, status mereka dalam MySejahtera akan bertukar merah, sekali gus tidak boleh mengunjungi mana-mana premis, selain boleh diusir keluar kerana melakukan kesalahan," katanya.

Jika keputusan ujian itu positif, katanya, pengembara itu akan diarah menjalani kuarantin dan tempohnya bergantung pada status vaksinasi, dengan individu lengkap divaksin diberi perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) selama tujuh hari di tempat penginapan bagi kategori 1 dan 2.

Bagi kategori 3 dan ke atas, katanya, mereka perlu mendapatkan rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC), atau hospital swasta bagi pengembara warga asing.

"Bagi pengembara yang tidak lengkap atau tiada vaksinasi, mereka akan diberikan HSO selama 10 hari.

"Jika keputusan ujian negatif, pengembara dengan vaksin lengkap tidak perlu menjalani kuarantin, yang tidak lengkap atau tiada vaksinasi akan diberi HSO selama lima hari di tempat penginapan.

"Mereka juga perlu menjalani ujian RT-PCR pada hari keempat atau RTK-Ag profesional pada hari kelima. Jika ujian sampel kedua didapati positif, mereka akan diberi HSO selama lima hari dari tarikh sampel kedua diambil," katanya.

Mengulas peraturan untuk pengembara sebelum mereka berlepas ke Malaysia, Khairy memaklumkan mereka perlu melengkapkan deklarasi perjalanan, termasuk maklumat vaksinasi yang boleh diakses melalui ikon 'Traveller' dalam MySejahtera, serta memuat naik keputusan Ujian RT-PCR yang dilakukan dua hari sebelum berlepas.

Katanya, pengembara yang pernah dijangkiti COVID-19 dalam tempoh enam hingga 60 hari pula perlu melapor dan memuat naik keputusan RTK-Ag profesional yang dilakukan dua hari sebelum berlepas.

Bagi pengembara warga asing, katanya, mereka dikehendaki untuk mempunyai perlindungan insurans COVID-19 dan pengembaraan, dan menyatakan alamat penginapan di Malaysia.

"Dengan penghantaran maklumat di atas, pengembara akan mendapat beberapa paparan berikut dalam MySejahtera, iaitu Kad Pengembara bagi pengembara dengan vaksin lengkap, atau HSO selama lima hari bagi pengembara tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi.

"Bagi pengembara yang tiada paparan kad pengembara atau arahan HSO, mereka tidak dibenarkan meneruskan perjalanan," katanya.

Berita Harian X