Khamis, 24 March 2022 | 4:48pm

Pindaan perlembagaan lulus dua pertiga

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 bagi mengecualikan pendaftaran pemilih automatik kepada kerabat diraja.

Pindaan Perlembagaan itu bagi mengecualikan nama Raja dan pasangan, Yang di-Pertua negeri dan pasangan, bakal raja, waris ganti dan waris lain raja dan pasangan serta mana-mana individu lain daripada disenaraikan dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

RUU itu berjaya diluluskan pada bacaan kali kedua dan ketiga selepas mendapat sokongan melebihi dua pertiga atau sekurang-kurangnya 148 daripada 222 Ahli Parlimen, susulan undian belah bahagian dilaksanakan.

Undian secara belah bahagian perlu dilaksanakan bagi RUU itu kerana Perkara 159 Perlembagaan memperuntukkan sesuatu RUU bagi meminda Perlembagaan, selain yang dikecualikan daripada peruntukan itu, hanya boleh diluluskan di Parlimen dengan sokongan tidak kurang dua pertiga pada bacaan kali kedua dan ketiga.

"Keputusan belah bahagian seperti berikut. Yang bersetuju 181 undi, tidak hadir 39 dan tiada yang tidak bersetuju.

"Jumlah undian adalah 220. Dengan itu, RUU ini diluluskan," kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun yang mempengerusikan majlis ketika undian dibuat untuk bacaan kali kedua.

Keputusan majoriti dua pertiga turut diperoleh pada bacaan kali ketiga, dengan 178 undi bersetuju dan 42 undi tidak hadir, sekali gus RUU itu diluluskan di Dewan Rakyat.

Pembentangan RUU itu menjadi tumpuan di Dewan Rakyat hari ini, berikutan ia dibentangkan sehari selepas kerajaan buat kali pertama gagal meluluskan usul RUU di Dewan Rakyat semalam.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, membentangkan RUU itu sebelum ia dibahaskan oleh 14 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

RUU itu meminda Perlembagaan dengan menambah Perkara 119A, bagi mengecualikan golongan diraja daripada didaftarkan secara automatik dalam daftar pemilih, seperti diperuntukkan dalam Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

Pengecualian daripada kerabat diraja berkenaan didaftarkan sebagai pemilih secara automatik adalah bagi memastikan institusi diraja kekal berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

Ketika sesi perbahasan, Anthony Loke (PH-Seremban) menegaskan menyokong penuh pindaan Perlembagaan itu kerana ia antara perkara yang dipersetujui menerusi rundingan dijalankan bersama Wan Junaidi (GPS-Santubong) selaku Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang) dengan Pakatan Harapan (PH).

Jelasnya, langkah itu adalah sebahagian daripada agenda Undi18 yang mana PH meletakkan pendaftaran automatik tetapi perlu juga diberikan pengecualian kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu selari dengan prinsip Raja Berperlembagaan.

"Kita mahu Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja melangkaui politik. Itu prinsip yang mesti digunapakai dan juga tidak baik atau tidak elok kalau nama dan juga nombor kad pengenalan, butir-butir Agong serta raja-raja dipaparkan secara umum kepada orang ramai," katanya.

Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) pula berkata semangat kepada pindaan berkenaan tidak pernah mempertikaikan hak Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja Melayu untuk mengundi,m.

"Isu tidak pernah berbangkit sama ada Yang di-Pertuan Agong mengundi atau Raja-Raja Melayu mengundi ataupun isteri atau kerabatnya...bukan isu.

"Tetapi apa yang saya faham berdasarkan pindaan ini, kita mahu meletakkan institusi Raja-Raja Melayu melangkaui politik. Hasrat murni ini patut kita sokong supaya institusi raja-raja yang kita nobatkan sebagai pihak yang menjadi payung kepada negara serta rakyat yang dicerminkan melalui Parlimen, berjalan seiring dan pada masa hadapan...ia akan menjadi sebuah institusi yang diperkukuhkan," katanya.

Berita Harian X