Khamis, 24 March 2022 | 3:52pm
Zuraida (dua, kiri) melihat benih anak pokok koko pada majlis Pecah Tanah Smart Cocoa Plantation di Mantin hari ini. - Foto BERNAMA
Zuraida (dua, kiri) melihat benih anak pokok koko pada majlis Pecah Tanah Smart Cocoa Plantation di Mantin hari ini. - Foto BERNAMA

Sasar eksport RM14 bilion komoditi koko

SEREMBAN: Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyasarkan nilai eksport komoditi koko meningkat dua kali ganda tahun ini iaitu daripada RM7 bilion yang direkodkan tahun lalu kepada RM14 bilion.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sasaran itu boleh dicapai dengan dipacu potensi pasaran besar untuk komoditi berkenaan di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun beliau berkata, Malaysia perlu mengeluarkan lebih banyak produk hiliran berasaskan koko berkualiti tinggi bagi mengembangkan lagi potensinya di luar negara.

"Strategi kementerian adalah untuk memperluaskan lagi pasaran koko di luar negara terutama di negara yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi.

"Oleh itu, kita perlu mengeluarkan lebih bahan mentah dan produk hiliran berasaskan bahan mentah koko kerana ketika ini kita tidak banyak industri hiliran berkenaan walaupun berpotensi besar.

"Jadi, dengan adanya projek seperti ini, kita (Malaysia) bukan saja berupaya menjadi pengeluar koko tetapi juga coklat pada masa akan datang," katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ladang Koko Pintar Bukit Gangis Mukim Setul Mantin, di sini, hari ini.

Zuraida (tengah) menyiram anak pokok koko sebagai simbolik Majlis Pecah Tanah Smart Cocoa Plantation di Mantin hari ini. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Zuraida (tengah) menyiram anak pokok koko sebagai simbolik Majlis Pecah Tanah Smart Cocoa Plantation di Mantin hari ini. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

Terdahulu ketika berucap, Zuraida berkata projek berkenaan akan mengangkat Malaysia sebagai negara pengeluar hasil koko berkualiti dan boleh dijejaki.

"Menerusi hasil lawatan dan rundingan dengan pihak luar negara, didapati bahawa negara pengguna koko sememangnya berminat dengan sumber koko yang memenuhi matlamat Kumpulan Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSDG).

"Diharapkan teknologi ini dapat membantu meningkatkan pengeluaran hasil buah koko, manakala ladang ini boleh menjadi ladang contoh dan dapat menarik lebih ramai pelabur, syarikat perladangan serta generasi muda untuk mengusahakan tanaman koko," katanya.

Berita Harian X