Khamis, 24 March 2022 | 3:51pm

Orang ramai 'hilang bayang' di Tanjung Piai

PONTIAN: Fenomena tengah hari tanpa bayang yang berlaku di titik paling Selatan benua Asia di Tanjung Piai di sini, menyebabkan bayang pengunjung kelihatan 'hilang' seolah-olah 'tiada bayang-bayang'.

Tinjauan di kawasan itu pada jam 12 tengah hari, mendapati bayang pengunjung yang hadir masih lebar dan memanjang seperti biasa.

Namun bayang-bayang pengunjung dilihat semakin mengecil mulai jam 1 tengah hari dan hampir hilang pada jam 1.12 tengah hari tadi.

Ia sekali gus menimbulkan rasa teruja dalam kalangan pengunjung apabila mendapati bayang-bayang yang biasanya mengekori mereka, seolah-olah hilang.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataannya, memaklumkan fenomena tengah hari tanpa bayang dijangka berlaku di Malaysia membabitkan kawasan seperti Kota Tinggi, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Kuala Terengganu pada tarikh yang berbeza bermula hari ini.

MOSTI berkata, fenomena itu juga dikenali sebagai peristiwa Ekuinoks, diramalkan berlaku mulai 21 Mac sehingga 3 April ini di beberapa kawasan seluruh dunia.

Menurut MOSTI, pada hari berlaku fenomena itu, matahari akan berada betul-betul di atas garisan Khatulistiwa dan ia berlangsung sepanjang hari berkenaan.

Bayang pengunjung kelihatan mengecil ketika tinjauan pada jam 1.15 tengah hari di arca glob dekat Tanjung Piai, Pontian. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Bayang pengunjung kelihatan mengecil ketika tinjauan pada jam 1.15 tengah hari di arca glob dekat Tanjung Piai, Pontian. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Gambar dirakam di Tanjung Piai, Pontian, Johor pda 24 Mac lalu menunjukkan Nor Azura Md amin dan bayangnya yang kelihatan mengecil pada jam 1.15 tengah hari. - NSTP/ARKIB
Gambar dirakam di Tanjung Piai, Pontian, Johor pda 24 Mac lalu menunjukkan Nor Azura Md amin dan bayangnya yang kelihatan mengecil pada jam 1.15 tengah hari. - NSTP/ARKIB

Ketika kejadian itu, seluruh dunia akan mengalami masa siang dan malam yang sama panjang iaitu, 12 jam siang dan 12 jam malam.

Berdasarkan infografik yang dikongsikan Planeterium Negara, antara kawasan yang betul-betul berada di atas garisan Khatulistiwa adalah Pontianak, Indonesia dan Quito, Ecuador yang akan mengalami fenomena tengah hari tanpa bayang bermula 21 Mac lalu.

Ekuinoks adalah satu keadaan yang memperlihatkan titik subsolar sesebuah planet melintasi garisan Equator atau garisan Khatulistiwa sekali gus menyebabkan bahagian utara serta selatan sesebuah planet melalui tempoh waktu siang dan malam yang sama.

Sementara itu, pengkaji ilmu falak yang juga pemilik FalakOnline, Shahrin Ahmad, menerusi muat naik di akaun facebooknya berkata, tepat pada waktu tengahari hari ini, matahari berada paling tegak di atas kepala, iaitu sekitar 89.9 darjah di atas titik paling selatan benua Asia, yang kebetulan berada di Tanjung Piai, di sini.

"Kiraan dibuat pada kordinat titik rujukan Google Map di kawasan yang ada mercu tanda titik paling selatan. Jika ada objek yang tegak 90 darjah di kawasan itu, pada jam 1:12 pm, bayang-bayang objek akan 'hilang' dan seolah-olah 'tiada bayang-bayang'," katanya.

Dalam pada itu, pengunjung yang ditemui di titik paling Selatan benua Asia di Tanjung Piai, teruja apabila mendapati bayang-bayang mereka mengecil sebelum beransur hilang.

Fenomena tengah hari tanpa bayang yang berlaku di titik paling Selatan benua Asia di Tanjung Piai, hari ini. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Fenomena tengah hari tanpa bayang yang berlaku di titik paling Selatan benua Asia di Tanjung Piai, hari ini. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Guru tadika, Fazilah Wahab, 46, berkata beliau tidak mengetahui mengenai fenomena berkenaan sehingga menyedari bayang-bayangnya tidak kelihatan apabila merakamkan gambar bersama keluarganya di arca glob menandakan titik paling selatan benua Asia.

"Saya tidak tahu pun wujud fenomena hari tanpa bayang ini. Pengalaman ini adalah ilmu baharu buat kami yang boleh dikongsi bersama anak murid saya nanti.

"Kami sekeluarga yang melancong ke sini teruja apabila dapat merasai sendiri fenomena unik ini. Pelik juga rasanya apabila melihat tiada bayang-bayang yang mengekor seperti kebiasaannya sebaliknya bayang-bayang menjadi kecil di bawah kaki," katanya.

Sementara itu, graduan sebuah institusi pengajian tinggi, Badrul Amin Bain, 24, turut berasa teruja apabila melihat fenomena itu buat pertama kali.

"Saya membawa ahli keluarga dari Kota Tinggi untuk melihat titik paling Selatan benua Asia di Tanjung Piai. Namun apabila ramai pengunjung mengatakan bayang-bayang mereka hilang, kami sekeluarga turut berasa teruja.

"Ternyata benar bayang-bayang yang tadinya lebar dan panjang di bawah sinaran matahari tiba-tiba mengecil dan seolah-olah hilang. Sungguh menakjubkan," katanya.

Pengunjung, Fatin Humairah Mohd Sabri bersama keluarga mengambil gambar bayangnya yang kelihatan mengecil ketika tinjauan pada jam 1.15 tengah hari di arca glob yang menandakan titik paling selatan benua Asia, Tanjung Piai, Pontian. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Pengunjung, Fatin Humairah Mohd Sabri bersama keluarga mengambil gambar bayangnya yang kelihatan mengecil ketika tinjauan pada jam 1.15 tengah hari di arca glob yang menandakan titik paling selatan benua Asia, Tanjung Piai, Pontian. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X