Khamis, 24 March 2022 | 12:23pm

MOTAC pertimbang perkenal cukai pembayaran digital kepada agensi pelancongan dalam talian

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mempertimbangkan cadangan untuk memperkenalkan cukai pembayaran digital terhadap agensi pelancongan dalam talian (OTA).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata cadangan bagi mengenakan cukai terhadap keuntungan diperoleh OTA itu, akan dibincangkan dengan Kementerian Kewangan (MOF).

"Perkara ini di bawah bidang kuasa kementerian lain, namun saya mengambil ini sebagai satu saranan yang boleh dipertimbangkan oleh MOTAC untuk dibincangkan dengan MOF," katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) yang bertanya sama ada MOTAC bersama MOF sedia mempertimbangkan untuk memperkenalkan cukai pembayaran digital kepada OTA.

Larry turut bertanyakan mengapa beberapa OTA dan ejen pelancongan terkemuka tidak berdaftar dengan MOTAC.

Menjawab soalan itu, Nancy memaklumkan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) antara lain memperuntukkan tiada pihak boleh menjalankan atau mengendalikan perniagaan pengendalian pelancongan (TOB) atau perniagaan agensi pengembaraan (TAB), melainkan jika memegang lesen sah yang diberikan oleh MOTAC.

Katanya, beberapa OTA terkemuka yang beroperasi secara dalam talian dan menawarkan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia ketika ini adalah milikan pegangan asing sepenuhnya yang berpangkalan di luar negara.

"Walaupun aktiviti perniagaan mereka termaktub dalam Akta 482, sifat perniagaan mereka yang beroperasi secara dalam talian tanpa membuka sebarang pejabat atau premis secara fizikal di Malaysia menyukarkan MOTAC untuk mengambil tindakan perundangan atau penguatkuasaan ke atas mereka," katanya.

Jelasnya, MOTAC mengambil inisiatif mengadakan libat urus dengan beberapa OTA antarabangsa yang menawarkan pakej atau perkhidmatan pelancongan di Malaysia untuk mematuhi Akta 482 dan berdaftar untuk beroperasi dengan memiliki lesen TOBTAB.

Hasilnya, katanya, terdapat OTA syarikat asing yang membuka anak syarikat di negara ini dan dilesenkan oleh MOTAC seperti Klook Travel Technology Sdn Bhd, Traveloka Sdn Bhd dan BEX Travel Malaysia Sdn Bhd.

"Garis Panduan Syarikat TOBTAB Yang Menjalankan Atau Mengendalikan Atau Menganjurkan Perniagaan Dalam Talian telah dibangunkan oleh MOTAC untuk melesenkan syarikat yang menawarkan pakej pelancongan di negara ini secara dalam talian.

"Pelaksanaan garis panduan ini adalah langkah awal MOTAC untuk memperkemas dan memperkukuh kawal selia aktiviti penawaran pakej pelancongan di negara ini secara dalam talian," katanya.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri
Berita Harian X